Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dolla tak kisah dilabel berlakon macam kayu

Biar pun berbangga diberi kesempatan mengabadikan pencapaian diri sendiri dalam sebuah telefilem, kumpulan Dolla mengaku peluang itu dilihat terlalu besar buat mereka.

Wakil anggota kumpulan itu, Sabronzo, berkata dia tidak menyangka Astro menunjukkan minat untuk mengangkat kisah hidup mereka menjadi sebuah telefilem.

“Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran Astro, kami sangat terkejut. Bukan apa, jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu 'hijau' dan kerdil.

“Lagi pun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Jadi, kami berasakan Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu namun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music itu bakal menemui peminat jam 9 malam ini menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Dolla Watch Me Glow diarahkan Izuan Mokhtar dan diinspirasi daripada kisah benar anggota kumpulan Dolla iaitu Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angel.

Ia berkisahkan Sabrina, gadis yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan di Los Angeles, California. Juga Tabby, seorang anak tunggal yang dikongkong keluarga.

Shasha pula sekian lama dibenci ibunya sendiri dan Angel, gadis yang sentiasa ingin keluar dari zon selesa hidupnya.

Sabrina, Tabby, Angel dan Shasha ingin menggapai cita cita dan minat mereka dalam bidang muzik. Mereka berempat menjalani uji bakat bersama syarikat rakaman tersohor, Universal Muzik secara solo.

Bagaimanapun, penyelaras A&R syarikat berkenaan, Kelly (lakonan Azwan Ali) membuat keputusan untuk menyatukan mereka sebagai sebuah kumpulan.

Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan, Sabronzo mengakui mereka sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran.

Namun dengan bantuan pengarah serta kru, anggota kumpulan itu berjaya menjiwai watak masing-masing.

“Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami ‘kayu’ selepas menonton aksi pertama kami dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun kata Sabronzo, mereka tidak kisah mendedahkan perjalanan hidup Dolla dengan peminat kerana beranggapan tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada peminat.

“Memang hampir 70 peratus kisah yang dipaparkan dalam telefilem itu ada kena-mengena dengan kami. Cuma 30 peratus ditokok tambah bagi mewarnai telefilem tu untuk jadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik.

“Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan,” katanya.