Petisyen desak Neelofa dipenjara kumpul hampir 60,000 tandatangan
Hampir 60,000 tandatangan sudah dikumpulkan dalam petisyen maya untuk mendesak kerajaan mengenakan hukuman penjara ke atas Noor Neelofa Mohd Noor yang melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Jumlah itu naik mendadak hanya dalam tempoh dua hari berbanding angka 2,203 yang dilaporkan Malaysiakini sebelum ini.
Kempen dalam talian itu dilancarkan bertujuan mendesak pihak berkuasa lebih tegas ke atas pengacara dan usahawan berkenaan yang melakukan kesalahan berulang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.
Petisyen yang ditujukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga sebagai peringatan kepada pihak berkuasa agar tidak mengamalkan undang-undang yang berbeza di antara orang awam dan individu kenamaan.
“Neelofa merupakan seorang selebriti yang banyak kali melanggar SOP dan menidakkan undang-undang dalam usaha negara menangani pandemik Covid-19.
“Kesalahan-kesalahan dilakukan tanpa serik menyebabkan wujudnya undang-undang yang double standard dikenakan terhadapnya.
“Berdasarkan kesalahan-kesalahan berulang ini, kami desak kerajaan Malaysia dan PDRM untuk segera memenjarakan Neelofa tanpa kompromi sebagai isyarat jelas kerajaan tidak amalkan undang-undang double standard kepada VVIP dan orang kenamaan,” menurut petisyen tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, yang bertanggungjawab atas hal ehwal PDRM turut dinamakan dalam petisyen dimulakan individu menggunakan gelaran Hentikan Double Standard itu.
Untuk rekod, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban semalam atas kesalahan melanggar SOP PKPB di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.
Neelofa sebelum itu dikenakan kompaun RM10,000 kerana selaku penganjur, dia gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter ketika majlis akad nikahnya dengan Haris Ismail berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.
Kejadian berlaku pada 23 Mac lalu itu turut menyebabkan 20 lagi anggota keluarga pelakon itu menerima kompaun RM1,500 setiap seorang.
Neelofa dan Haris atau PU Riz kemudian masing-masing dikompaun bagi jumlah RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP PKPN kebenaran merentas negeri kerana ke Langkawi selepas pernikahan mereka.
Untuk dakwaan melanggar SOP PKP sempena hari raya pada 1 Syawal lalu, Neelofa serta sembilan lagi anggota keluarganya sudah memberi keterangan kepada polis Brickfields, Kuala Lumpur pada 18 Mei lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai