Neelofa ke mahkamah: Pengikut, pengkritik 'berperang'
Noor Neelofa Mohd Noor kini sohor di Twitter gara-gara beberapa isu dikaitkan dengan usahawan selebriti itu sejak beberapa hari lalu.
Kes Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini antara penyumbang nama pelakon dan pengacara itu menuai perhatian ramai.
Pasangan itu didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, Negeri Sembilan.
Neelofa dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada 2 Mei lalu.
Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz pula dikenakan dua pertuduhan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai itu.
Pasangan itu mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.
Pun begitu, kehadiran Neelofa di mahkamah hari ini semakin menjadi perbualan hangat di media sosial apabila dia dituduh pula tidak memakai pelitup muka di sebalik niqab yang dipakainya.
Melalui gambar dirakam pihak media di perkarangan mahkamah itu kelihatan niqab dipakai Neelofa menampakkan bentuk hidung dan mulutnya.
“Pakai niqab tak perlu pakai 'mask' (pelitup muka) ya,” antara soalan dibangkitkan netizen.
Selain itu, sebuah akaun Instagram mengunakan nama Lofa.Page turut menambah ‘panas’ apabila menyamakan situasi dihadapi Neelofa dengan Palestin melalui satu hantaran dimuat naik di Insta Story akaun tersebut.
Ia antaranya mendakwa Neelofa dibuli saudara seagama.
“Palestin dan Neelofa ada satu persamaan. Palestin ditindas aras tanah sendiri. Neelofa pun sama. Dibuli dan dimaki atas tanah sendiri.
“Perbezaan? Palestin ditindas oleh bangsa Israel tapi Neelofa dibuli dan dimaki saudara seagama,” kata kenyataan itu.
Hantaran itu mendapat maklum balas ramai, antaranya akaun @papihabibi yang berkata tidak wajar penderitaan Palestin disamakan dengan situasi Neelofa.
“Tolong jangan samakan penderitaan Palestin yang berjuang kerana perang,” ciapnya.
Baru-baru ini juga sebuah petisyen dalam talian dilancarkan bagi mengumpul sokongan orang ramai untuk meminta kerajaan mengenakan hukuman penjara terhadap Neelofa.
Petisyen ditujukan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mendesak pasukan keselamatan mengenakan hukuman yang dirasakan setimpal buat seseorang yang melakukan kesalahan berulang.
Selain PDRM, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, yang bertanggungjawab atas hal ehwal PDRM turut dinamakan dalam petisyen dimulakan individu menggunakan gelaran Hentikan Double Standard itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai