Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nabila Huda kurung diri enggan aniaya orang lain dengan Covid-19

Enggan lagi Covid-19 menular lebih luas, Nabila Huda bertekad untuk terus melakukan kuarantin kendiri bagi mengelak dirinya menjadi risiko kepada orang lain.

Kata aktres terkenal itu, cukup-cukuplah sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak hingga yang tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan orang lain boleh menjadi mangsa jangkitan.

“Walau apa pun terjadi, saya memang tak akan melangkah keluar dari rumah ni untuk pergi ke mana-mana.

“Cukuplah, kita (saya) teraniaya disebabkan manusia yang tidak bertanggungjawab,” katanya di media sosial.

Terdahulu dalam hantaran berbeza anak bekas penyanyi kumpulan rock Search, Amy itu meluahkan kekecewaan atas sikap segelintir individu yang mengambil mudah ancaman jangkitan Covid-19.

Nabila Huda juga memberi bayangan dia menjadi mangsa jangkitan Covid-19 itu sebenarnya berpunca atas kedegilan orang lain.

“Saya ini jenis duduk rumah kalau tak ada keperluan di luar. Justeru kalau tiada sebab untuk keluar, duduklah diam-diam di rumah. Disebabkan degil, orang lain yang tidak bersalah jadi mangsa.

“Kesakitan yang datang berpunca daripada kepentingan diri dan kecuaian orang lain... Ini sudah jadi konsep teraniaya.

"Kerana nafsu dan keseronokan, habis semua yang tiada kena mengena terpalit sama,” katanya.

Untuk rekod walaupun Nabila Huda disahkan positif Covid-19, suaminya Mohd Izwan Johar dan anak, Keisha Laila, terselamat daripada jangkitan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Nabila, 36, turut melahirkan rasa syukur memandangkan dirinya semakin pulih selepas mengasingkan diri selama sembilan hari.

Nabila juga berkata, doktor akan datang ke rumah pada hari ini untuk melakukan ujian calitan pada dirinya dan suami.

Pelakon drama siri Covid Oh Covid itu yang pernah berkongsi pengalaman hilang deria bau, batuk dan selsema berkata dia kini berasa badannya kembali segar dan kuat.

“Selamat pagi kawan-kawan. Sedikit kemas kini, hari ini adalah hari kesembilan kuarantin. Saya semakin pulih dan kuat.

“Pagi ini bangun badan rasa segar, saya dah boleh bau dan rasa, tetapi belum 100 peratus lagi.

“Namun, saya masih bersyukur. Emosi pun sudah kembali stabil. Saya boleh rasa kulit saya sudah kembali bersinar,” katanya.