Finas jawab U-Wei: Karya sama masih boleh dipertimbangkan kemudian
Sesebuah karya yang tidak dipilih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) masih boleh dipertimbangkan pada masa akan datang, kata pengerusi agensi itu.
Menurut Zakaria Abdul Hamid berdasarkan cadangan yang dikemukakan kepada Finas sebelum ini, semuanya dianggap baik belaka dan membabitkan tokoh tersohor dalam negara.
“Jika tidak dipilih untuk kali ini, karya yang sama juga masih boleh diangkat pada masa akan datang,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Zakaria berkata demikian sebagai mengulas surat terbuka ditulis pengarah terkenal U-Wei Haji Saari semalam.
Antara lain pengarah Hanyut itu membangkitkan persoalan mengapa cadangan filem kenegaraan arahannya, Wangi Jadi Saksi, gagal menarik perhatian panel Finas selepas menjalani proses pitching.
U-Wei, 67, dimaklumkan mengenai keputusan tersebut pada 28 April lalu. Justeru dia menuntut jawapan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
U-Wei juga menuntut penjelasan Ahmad Idham yang didakwa mempunyai peranan sama ada secara langsung atau tidak dalam membuat keputusan berkenaan.
Justeru, pengarah Kaki Bakar - filem yang diundang ke Festival Filem Antarabangsa Cannes pada 1995 dan beberapa festival lain - berharap Ahmad Idham tiada perasaan prejudis untuk mempengaruhi keputusan terhadap permohonannya itu.
Kata Zakaria daripada 70 permohonan yang diterima Finas, hanya enam dipertimbangkan kerana dianggap bersesuaian dengan keperluan tema semasa serta peruntukan yang ditetapkan agensi berkenaan.
“Tiada penolakan proposal kecuali yang tidak cukup syarat iaitu syarikat bermasalah, atau kurang pengalaman dan faktor-faktor lain,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Idham yang dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan reaksinya berhubung surat U-Wei enggan memberikan sebarang kenyataan.
“No comment,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai