Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Elfira abaikan cerita negatif, yakin vaksin beri kesan positif

Walaupun banyak dakwaan kurang enak mengenai vaksin Covid-19 di media sosial, Elfira Loy berkata, dia kekal positif semasa hadir ke pusat vaksinasi untuk menerima suntikan yang pertamanya.

Kata pelakon itu, sebagai persediaan dia membanyakkan amalan membaca serta mengambil tahu semua maklumat berkaitan vaksin AstraZeneca sebelum ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya tawakal sajalah kalau terbaca di Twitter tu. Biasanya apabila kita terlalu takut, kita akan banyak cari kesan yang buruk. Tapi sebenarnya, lebih banyak fakta berhubung kesan baik daripada yang buruk.

“Dalam carian saya mendapati risiko daripada vaksin itu sangat kecil, justeru saya fokus hanya pada cerita-cerita positif saja.

“Selain tu, saya juga persiapkan mental sekiranya tubuh badan tiba-tiba demam atau lenguh-lenguh sendi serta sebagainya lepas terima suntikan,” katanya yang setakat ini belum mendapat sebarang tanda-tanda kesan negatif.

Elfira berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian kempen Antibuli Siber anjuran Himaya Premium Hijab Mask di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, dua lagi duta Himaya iaitu Amira Othman dan Wany Hasrita.

Pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu menerima vaksin AstraZeneca di UKM pada 5 Mei lalu. Suami Elfira, Faris Anuar, dijadual menerima suntikan vaksin dos pertama pada 9 Mei ini.

Berkongsi pengalaman divaksin, Elfira, 27, berkata dia sebenarnya memang orang yang selalu takut untuk berjumpa doktor apatah lagi jika perlu dicucuk jarum.

Tak layan benda remeh

Namun, menurut pelakon Cinta Tanpa Syarat itu, dia tekad demi anaknya, Muhammad Rayyan Khalaf yang kini berusia dua tahun.

“Jika perlu jumpa doktor memang sampai lemah-lemah lutut. Saya takut kedua-duanya: takut doktor dan takut jarum. Tapi saya kena kuatkan semangat untuk buat benda positif.

“Lagipun, lambat-laun kita semua kena ambil vaksin memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat, saya juga ada anak kecil.

“Pekerjaan saya juga memerlukan saya untuk bergerak ke banyak tempat serta bertemu ramai orang,” katanya.

Pada masa sama, kata Elfira, perasaan gemuruh itu juga beransur hilang selepas dia melihat ramai orang bersemangat beratur sebelum diberikan suntikan vaksin.

Sementara itu, mengulas mengenai kes buli siber, Elfira - yang sudah 15 tahun bertapak dalam industri tanah air - berkata dia sudah lali dengan ‘permainan’ dihidangkan netizen.

Katanya, langkah mudah supaya sesuatu isu tidak berpanjangan adalah dengan mengambil sikap tidak mempedulikan kritikan mereka.

“Saya tak layan perkara remeh. Jika kita melayan dan terus melayan ia ibarat menambah api,” katanya.

Menurut Elfira, apabila sesuatu isu berpanjangan, ia boleh jadi seperti suatu norma.

“Kita tak boleh biarkan orang berterusan bercakap perkara buruk tapi saya bukan menidakkan sesuatu perkara yang menjadi perhatian netizen.

"Cuma sebagai seseorang yang sering menjadi perhatian umum, artis perlu jangan cepat melatah dan harus tenang mengawal situasi,” katanya.