Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Acong kecewa ditakut-takutkan lepas ambil vaksin

Daripada teruja berkongsi kegembiraan kerana menjadi antara penerima terawal vaksin, pelakon dan pelawak Acong Sweetchild tiba-tiba bertindak memadam pula imej dimuat naik pada akaun media sosial miliknya.

Kata Acong, dia berbuat demikian kerana tidak mahu tertekan apabila dimomokkan dengan cerita yang tidak betul mengenai penerima vaksin sepertinya.

Acong menjelaskan, sejak memuat naik imej berkenaan, dia menerima mesej bertalu-talu daripada orang dikenali di sekelilingnya berkenaan risiko menjadi penerima vaksin.

“Selepas berkongsi imej tu, ada beberapa rakan yang menakut-nakutkan dengan menghantar pelbagai kenyataan atau cerita tidak enak berkaitan vaksin kepada saya melalui WhatsApp.

“Sebab tu saya padam imej yang dimuat naik pada Instagram sebelum ni. Saya tak mahu tertekan memikirkan risiko yang digembar-gemburkan pihak tertentu.

“Janganlah doakan saya mati,” katanya.

Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manat ditemui pada majlis pengumuman Starvendors Mega Raya Fest 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, vokalis kumpulan Sweetchild yang mewarnai persada hiburan sejak 1995 itu berkongsi imej dia memegang plakad dengan cogan kata “Saya telah divaksin" di Instagram.

Semua mati bila sampai ajal

Namun, ia menerima pelbagai respons sejurus ia dimuat naik termasuk yang cuba menakut-nakutkannya.

Justeru, penyanyi Yang Terlarang Itu Godaan itu menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang dakwaan buruk mengenai vaksin yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kata Acong, sepatutnya penerima vaksin diberikan kata-kata semangat dan galakan agar tidak bimbang atau membatalkan niat untuk menerima vaksin yang disahkan selamat, berkesan dan efektif untuk keseluruhan rakyat Malaysia dalam usaha mencegah pandemik Covid-19.

“Saya betul-betul rasa down (lemah semangat) apabila baca teks-teks berkaitan vaksin yang dikirimkan. Tapi mujur saya boleh kembali positif, setkan dalam kepala vaksin ni memang untuk kebaikan kita.

“Jika diikutkan nak mati, bila-bila pun orang boleh mati kalau dah sampai ajal. Kita semua memang tetap akan mati,” katanya.

Untuk rekod, selain Acong, isterinya, Marya Zuraida turut menerima vaksin empat hari lalu.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 15 Dis 2012 itu dijadual menerima vaksin kedua selepas sambutan Aidilfitri ini.

Berkongsi bagaimana namanya terpilih menjadi antara penerima vaksin awal, Acong berkata, dia tidak tahu bagaimana hal itu boleh berlaku selain menyifatkan itu adalah rezeki yang tidak terduga.

Namun dia tidak menolak penyakit darah tinggi dihidapinya mungkin menjadi faktor namanya tersenarai lebih awal berbanding orang lain.

“Memang saya bersyukur sebab tugas saya sebelum pandemik membabitkan keperluan berurusan keluar negara.

“Jika dah terima vaksin saya tak perlu bimbang sekiranya pintu sempadan sudah dibuka semula nanti,” katanya.