Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Berkelana untuk seni di Pulau Tuba

Hampir semua peserta Projek Tuba 2021 datang dengan 'kepala yang besar'. Manakan tidak, mereka terdiri daripada pengkarya-pengkarya yang memang sudah agak terkenal.

Fauzin Mustafa misalnya mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam seni kontemporari. Beliau seorang daripada empat anggota kumpulan Empat Persepsi, iaitu kumpulan seni catan yang mendahului Matahati yang terkenal itu. Fauzin juga sudah mengadakan beberapa pameran solo.

Cik Ahmad Azhar Che Fadzil pula jurufoto unggul yang hasil kerjanya pernah mendapat tempat di National Geographic serta kumpulan jurufoto Magnum.

Chief Shafee Ramli pula adalah pandai kayu yang disegani ramai, manakala rakan baik beliau - Badruddin Syah - pula adalah pelukis yang sedang meningkat naik dengan siri catan mencengkam jiwa dan memusnahkan minda itu.

Hannah, Rozlina dan Rini boleh dikatakan antara peserta muda namun antara mereka ada yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam dunia seni catan.

Mereka juga sekurang-kurangnya pernah mengadakan satu pameran solo.

Marisa Ng yang sedang laris di dalam dan luar negara - terutama di Jakarta - pula tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatanya. Selain mereka semua itu ada pula kami sendiri, sang pelukis dan penulis penuh sensasi dan sangat sensual ini.

Tak boleh rasa lapar

Jadi apabila datang jemputan untuk berkampung di Pulau Tuba, Langkawi, kami tidak nampak apa yang boleh disumbangkan oleh Jalaini Abu Hassan dan juga Rafiee Ghani, dua seniman besar yang dihormati kepada kami yang menyertai acara tersebut.

Di Lapangan Terbang Subang semasa menunggu penerbangan kami saling berkenalan. Ada yang bertemu untuk pertama kali sementara yang lain adalah kawan-kawan lama.

Dan di Lapangan Terbang Subang itu jugalah untuk pertama kalinya kami diberi pengalaman merasai ‘panas hati Jalaini Abu Hassan’.

Melihatkan ramainya orang sedang beratur untuk mendaftar masuk, ada antara peserta turut tergesa-gesa berbaris. Apabila hal ini sampai ke pengetahuan Jalaini yang sudah pun berada di Pulau Langkawi sehari lebih awal, beliau pun panas hati.

"Team work guys, team work!" kata WhatApps daripada beliau kepada semua peserta.

Che Ahmad Azhar, jurufoto berpengalaman dan sudah lama mengenali Jalaini berkata: "Mungkin Jai lapar. Dia tak boleh lapar, kalau lapar dia panas hati."

Perangai ‘panas hati Jalaini Abu Hassan’ ini akan kami nikmati sehingga hari terakhir Projek Tuba fasa pertama ini.

Di Lapangan Terbang Pulau Langkawi kami disambut oleh Subri Ismail, Tajali Abdullah serta dua mentor kami iaitu Rafiee Ghani dan juga Jalaini 'Sang Pemanas' Abu Hassan.

Melihatkan gerak dan riak Subri iaitu orang yang mengatur dan menguruskan acara itu, kami mengesyaki beliau penyokong partai politik yang berteraskan agama.

Justeru semasa di lapangan terbang semua peserta bersetuju untuk meminta Subri menyediakan kereta Vellfire sebagai kenderaan kami semasa di Langkawi.

Gerai kehabisan makanan

Subri dengan tenang menjawab bahawa apa yang beliau sediakan jauh lebih baik daripada Vellfire.

Sungguh seperti yang beliau katakan. Kami tidak tahu apa jenis kenderaannya namun van yang menjadi kenderaan kami selama beberapa hari di Langkawi sememangnya lebih baik berbanding Vellfire.

Lengkap dengan penyaman udara yang berfungi baik dalam cuaca panas sebuah pulau. Kerusinya pula adalah tersangat empuk dan lapang. Yang paling mengujakan ialah lampu warna-warni yang bernyala-nyala dalam van.

Ia mewujudkan suasana seolah-olah kami sedang berada didalam sebuah disko bergerak (atau kalau kamu suka, seperti sebuah kasino beroda).

Kami dibawa ke gerai untuk makan tengahari. Gerai pertama yang kami singgahi sudah kehabisan lauk. Hanya ikan bakar yang tinggal ketika itu. Sebagai rakyat Malaya, kami makan nasi ketika tengah hari dan ikan bakar dikhususkan untuk makan malam.

Kami dibawa ke gerai berikutnya dan dihidangkan dengan makanan - yang kalau kami bercakap benar - adalah sama dengan semua masakan yang ada di tanah besar Malaya.

Seperti yang diduga, kehabisan makanan di gerai pertama mengakibatkan ‘panas hati Jalaini Abu Hassan’ yang kedua sebelum ianya ditenangkan oleh Tajali Abdullah, seorang lagi individu yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Projek Tuba 2021 ini.

Tajali adalah gambaran ketenangan. Beliau menjalani hidup dalam gerak perlahan. Apa saja yang berlaku beliau ambil dengan sedikit garam dan menjadikannya teladan.

Setelah bersara sebagai pensyarah seni, beliau pindah ke Langkawi dan membina sebuah rumah yang agak unik.

Semasa diberitahu yang rumah beliau di atas pokok, kami menyangka beliau membina ‘tree house’. Rupanya tingginya rumah beliau itu adalah mengatasi pokok-pokok yang ada disekelilingnya.

Hidangan dapat pujian semua

Kami dibawa melawat rumah dan studio beliau yang dibina di lereng Gunung Raya. Rumah itu juga bertindak sebagai rumah inap desa. Berada di rumah tiga tingkat itu adalah pengalaman yang mengasyikkan.

Setelah berehat di rumah Tajali, kami kemudian bergerak ke jeti bot di pekan Kuah. Dari sana kami menaiki bot yang ditempah untuk ke Pulau Tuba. Perjalanan mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit itu tidak meyajikan sebarang insiden.

Dan Jalaini tidak panas hati sepanjang perjalanan berkenaan.

Kami tiba di jeti lama Pulau Tuba. Van yang sepatutnya menunggu kami tidak kelihatan. Setelah menefon ke sana ke mari - dan sebelum Jalaini panas hati - van yang dijanjikan itu pun sampailah.

Is sebuah van yang agak lusuh dan tentu saja tidak dapat memuatkan semua kami 12 orang sekali gus serta beg dan barangan yang dibawa.

Setelah berbincang, sebuah van lagi dipanggil dan kami pun bergerak. Van pertama yang diisi dengan beg dan barangan, manakala van kedua diisi dengan orang.

Destinasi pertama kami ialah Homestay Barakah di Selat Bagan Nyior yang berada di Pulau Dayang Bunting, sebuah pulau yang dihubungkan dengan Pulau Tuba oleh sebuah jambatan.

Homestay itu dimiliki Kak Bara - satu figura yang sangat misterius pada pandangan kami - dan suaminya yang kami syak belajar bahasa Inggeris melalui YouTube. Telonya agak mencurigakan.

Di situ kami dihidangkan dengan beberapa jenis masakan. Ada antaranya tidak penah kami ketahui kewujudannya, seperti buah gajus masak pajeri. Selain itu terdapat juga udang, ikan, sotong serta kupang. Semua segar-segar belaka.

Mungkin kerana keenakannya atau mungkin kerena kelaparan atau mungkin kerana gabungan kedua-duanya, semua peserta memuji makanan yang dihidangkan.

Sambil makan kami dihiburkan oleh sekumpulan kerbau yang datang berkubang di dalam air laut yang sedang surut bersama matahari yang semakin senja.

"Jika tidak kerana awan yang tebal, pasti kamu dapat menikmati keindahan matahari tenggelam di situ," kata Kak Bara.

Kak Bara yang baik hati itu tidak jemu-jemu menyebut nama seniman Hasnol J Saidon dan Normah Nordin yang menurut beliau sering menghabiskan masa di situ semasa dunia belum dilanda wabak.

Covid-19 yang sedang melanda ini banyak menutup peluang perniagaan kepada pengusaha homestay di Pulau Tuba. Dan selebriti yang diberi kelonggaran istimewa untuk ke mana-mana tentunya tidak akan singgah di kampung-kampung sebegitu.

Mereka lebih rela memberi perniagaan kepada hotel-hotel ternama.

Setelah menjamu selera di Homestay Barakah, kami dibawa ke Kampung Keda iaitu petempatan yang diuruskan pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda). Semua rumah di situ berwarna Pelangi.

Mulanya kami menyangka kami tersilap masuk ke acara ‘gay pride’ namun kekeliruan itu dijelaskan oleh Charlie iaitu orang yang bertanggungjawab menguruskan semua rumah dalam program inap desa di Pulau Tuba.

Pihak Keda bersetuju untuk membiyai semua kerja baik pulih rumah-rumah yang menyertai program itu. 

Setelah memberi pilihan kepada orang tempatan sama ada rumah-rumah mereka dilukis grafiti atau diwarnakan dengan warna pelangi, penduduk memilih untuk menceriakan hidup mereka dengan warna-warna asas yang terang benderang.

Catatan ini akan disambung lagi dalam tulisan akan datang.