Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Nash cedera kemalangan

Penyanyi terkenal tanah air Datuk Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, 62 mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di KM250.8 Lebuh Rraya Utara-Selatan arah Utara, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.00 petang semasa bekas vokalis kumpulan Lefthanded bersama pemandunya itu sedang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta jenis Toyota Harrier yang dinaiki mereka melanggar lopak air, sebelum ia hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

“Akibat kemalangan mangsa mengalami luka pada muka dan sakit dada, manakala pemandunya berusia 33 tahun pula hanya mengalami luka-luka ringan. Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Sementara itu, anak lelaki Nash, Shameer Nasha Jamaluddin, 26, berkata bapanya kini berada dalam keadaan stabil dan terpaksa diberi beberapa jahitan susulan kecederaannya yang dialaminya.

“Ayah agak terkejut tadi, bagaimanapun keadaanya baik, dan masih berada di Hospital Seremban ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

- Bernama