Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Menjelang seabad usia sejarah filem Melayu

ULASAN SENI | Hanya berbaki 12 tahun saja lagi untuk sejarah filem tanah air mencecah usia 100 tahun. Sudah hampir seabad  sejarah filem kita tetapi yang sering dikaitkan dalam banyak penulisan masih sama, iaitu Studio Jalan Ampas dan Studio Cathay Keris.

Kegemilangan filem Melayu sejak BS Rajhans mengarahkan filem pertama, Laila Majnun, pada 1933 cuma disebut di Singapura saja, walhal kedua-dua studio filem milik Shaw Brothers dan Cathay Keris itu sudah lama berkubur berbanding Kompleks Studio Merdeka di Hulu Klang yang masih terus bernyawa.

Biarpun Studio Merdeka tidak lagi menerbitkan filem selepas Adik Manja pada 1980 tetapi Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang tersergam di tapak itu dengan siap dengan termetrinya nama studio berkenaan adalah suatu simbolik bagi meniupkan kembali roh penggiat filem sesudah Singapura bukan menjadi lubuk rezeki lagi.

Apa terjadi, dalam banyak program berkaitan filem acap kali ditatang adalah seniman dan seniwati dari Singapura. Umpamanya semasa Festival Filem Malaysia (FFM) anjuran Finas sejak era 1980-an, tradisi itu semacam satu kemestian.

Tidak terkecuali ialah tayangan filem klasik di RTM serta program seperti Imbas Kembali dan kejayaan filem di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP). Hal selalu diulang sebut ialah filem yang produksinya dilakukan di Singapura.

Tidak salah penghargaan itu dibuat, tetapi harus ada keseimbangan kerana karyawan yang pernah berkhidmat di Studio Merdeka masih ramai bernyawa.

Misalnya pengarah pertama L Krishnan dan pengarah terakhir Studio Merdeka iaitu Othman Hafsham. Apakah ada usaha pihak kerajaan untuk membukukan atau dokumentasikan sejarah L Krishnan mahupun Othman Hafsham?

Kedua-dua tokoh itu adalah sutradara pada era sistem studio. L Krishnan kini ada di Bangkok. Dia berusia 99 tahun.

Kalangan pelakon yang pernah bekerja di bawah label Studio Merdeka/Shaw Brothers juga masih ramai yang boleh ditemui. Misalnya Salmah Ahmad, Sophia Ibrahim, Noor Azizah, Norlia Ghani, Dayang Sulu, Hail Amir, Arman Yadi, S Zamilah, Yusuf Haslam, Uji Rashid, Mokhtaruddin, Noor Kumalasari, Dharma Harun Al-Rashid, Shasha, Sarimah, Maznah Ahmad, Gary Gideon, Anita Jaafar, Aziz M Osman, Adibah Amin, Mariati, Julie Faridah, Ebby Saiful Ali, Ghani Aziz, Ruminah Sidek dan komposer Ahmad Nawab.

Mahu kuota filem tempatan

Ada antara mereka itu masih aktif berlakon seperti Norlia dan Ruminah Sidek, manakala Yusof kini gigih sebagai produser.

Anehnya agak sukar kita menulis mengenai Norlia mahupun Ruminah dengan mengaitkan mereka dengan perkataan "seniwati".

Pada 1960-an dulu, ketika dua studio gergasi itu masih dikelilingi hutan tebal dan dihuni binatang buas, tidak ramai penggiat filem - yang sudah selesa bekerja di situ - mahu meninggalkan Singapura untuk bekerja di Studio Merdeka di Hulu Klang.

Sejarah gemilang pelakon Studio Merdeka tetap ada apabila Aziz M Osman meraih trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFAP-22 pada 1976 di Korea Selatan, manakala Shasha meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFAP-26 (1981) di Bali, Indonesia.

Aziz M Osman

Berdirinya Finas adalah di atas asas yang digerakkan karyawan Studio Merdeka itulah. Ia bermula dengan tertubuhnya Persatuan Produser Filem Bersatu Malaysia (The United Film Produsers Of Malaysia atau FPMB) pada 3 Ogos 1966.

Ia diterajui Ho Ah Loke selaku Presiden, manakala L Krishnan menjadi timbalannya, dan diperkuat oleh Salleh Ghani selaku setiausaha, Abdullah Chik (penolong setiausaha) dan P Ramlee (bendahari).

FPMB  mahukan kerajaan mengadakan kuota bagi penayangan filem tempatan, mengawal kemasukan filem luar (ketika itu 600 filem luar ditayangkan setahun) dan pihak pawagam tidak dibenarkan memiliki studio dan menerbitkan filem.

FPMB juga mendesak supaya filem-filem iklan ditayangkan di TV Malaysia mestilah diusahakan oleh perusahaan filem tempatan.

Wakil-wakil dilantik - Ho, L Krishnan, Salleh, ARTompel dan HM Shah  - berjumpa dengan menteri-menteri dan wakil rakyat yang ada. 

Allahyarham Abdul Razak Hussein

Antaranya Abdul Razak Hussein, Tan Siew Sing, Senu Abdul Rahman, Lim Swee Ann dan Ahli Parlimen Kota Setar, Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan pelbagai masalah filem tempatan.

Usul FPBM itu kemudian dibawa ke kabinet. Malangnya ia ditolak kerana kerajaan berpendapat tiada kesesuaian untuk dilaksanakan. 

Takdirnya apabila Mahathir menjadi perdana menteri keempat usul itu dibawa semula oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Selepas melalui proses yang sepatutnya lalu terlahirlah Akta Finas yang di dalamnya termaktub Skim Wajib Tayang yang dicipta bagi melindungi filem-filem tempatan.

Cuba bayangkan apa yang akan berlaku tanpa akta dan peruntukan berkenaan. Dan bayangkan juga pada masa sama Shaw Brothers serta Cathay Keris - yang menguasai rangkaian pawagam ketika itu - masih diizinkan menjadi penerbit filem.

Dalam keadaan berkenaan sudah tentu tidak akan muncul syarikat-syarikat filem anak tempatan yang terdiri daripada pelbagai bangsa bagi meneruskan kelangsungan perusahaan filem tempatan atas nama bangsa Malaysia.


ADAM SALLEH ialah bekas pengarang berita dalam akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Dia juga boleh diikuti melalui saluran YouTube AdamSallehChannel.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.