Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas 16 tahun, Faizal kembali ke pangkuan Mirwana

“Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir," kata penyanyi itu yang kini kembali berkolaborasi dengan kumpulan nasyid tersebut menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.

Katanya, dia ingin mengembalikan nostalgia, selain penghargaan buat Mirwana.

Meskipun belum mendedahkan sama ada kolaborasi itu untuk tempoh yang panjang atau tidak, ia tetap mengundang perhatian peminat yang pastinya teruja setelah penantian selama 16 tahun.

Justeru, kebanyakannya meninggalkan komen positif pada hantaran Faizal dan Mirwana berkenaan reunion tersebut.

Faizal menjelaskan projek tersebut sudah lama dirancang iaitu sejak beberapa tahun lalu.

"Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami bekerjasama semula...Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini,” katanya.

Dia dijangka mengadakan sidang media dalam jangka masa terdekat untuk makluman lebih lanjut mengenai pembabitannya dengan Mirwana selepas ini.

Ditubuhkan pada 1996, Mirwana dianggotai Faizal, Hafiz, Izzat, Akmal dan Along. Faizal mengambil keputusan bergerak solo pada 2005.

Setahun kemudian, Faizal atau nama penuhnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 42, menyertai pertandingan nyanyian realiti dan sejak itu terus mengorak langkah sebagai penyanyi solo sehingga kini.

Faizal Tahir

Penyanyi Mahakarya Cinta itu juga mencipta nama sebagai komposer dan penerbit muzik dalam kelasnya tersendiri. Mirwana pula meneruskan perjalanan mereka dalam arena nasyid bersama beberapa anggota baru.

Aku Tanpa CintaMu membawa tuah kepada Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005 dan mengangkat mereka sebagai antara kumpulan nasyid paling popular ketika itu.

Ia karya sepenuhnya oleh Mujahid Abdul Wahab manakala susunan muzik versi 2021 digubah Adib Hussin dan Faizal sendiri dan diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Sementara itu, anggota Mirwana, Hafiz berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah ukhwah yang terjalin antara mereka.

"Diharap ukhwah antara kami, keluarga dan sahabat akan lebih erat.

“Kebelakangan ini, kami dapat lihat pelbagai usaha oleh penggiat seni untuk mengangkat semula nasyid dan kami tidak mahu ketinggalan. Maka 2021 adalah tahun yang tepat untuk kami susuli dengan sebuah lagu nostalgia yang diberi nafas baru,” katanya.

Ditanya mengenai pengunduran Faizal 16 tahun lalu, Hafiz menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat.

“Jelas ketika itu, Mirwana mempunyai hala tuju muzik dan matlamat yang sedikit berbeza. Alhamdulillah nampaknya impian Faizal dengan muziknya lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan secara solo dan itu sesuatu yang sukar untuk kami capai bersama,” katanya lagi.

Selain gubahan baru, mereka turut menjayakan muzik video Aku Tanpa CintaMu 2021 yang mengangkat tema dan isu penderaan kanak-kanak, yang bagi Hafiz gejala yang perlu diberi perhatian segenap lapisan masyarakat.

“Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah Allah SWT menyentuh hati dan jiwa masyarakat,” katanya lagi.