Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ramli MS cari bakat baru bawah 18 tahun

Berbekalkan pengalaman selama 47 tahun, maestro muzik tanah air, Ramli MS ingin menabur bakti dengan mencungkil bakat baru serta mencipta personaliti anak seni pelapis melalui program Panggung Tok Ram.

Dia yang mesra disapa Tok Ram itu akan mencungkil dan menggilap bakat muda seawal usia 13 hingga 18 tahun, sekali gus mengasuh mereka dengan pelbagai ilmu.

Katanya, proses itu bukan saja merangkumi bidang seni, bahkan mengenai sikap serta disiplin mereka sebagai anak seni.

“Saya nak cari bakat baru dan akan membina jati diri individu itu jadi anak seni yang berkaliber. Dengan pengalaman saya selama 47 tahun dalam industri, saya akan bantu menggilap apa yang ada dalam diri mereka.

“Selain bakat dan teknikal yang boleh diajar, jati diri dan tatasusila juga penting dalam diri seseorang anak seni,” katanya.

Program Panggung Tok Ram ditaja oleh satu jenama susu terkemuka tanah air.

Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 13 hingga 18 tahun dan cara penyertaannya adalah dengan menghantar rakaman video serta maklumat peribadi ke nombor telefon 013-6268839.

Nama Ramli MS bukan lagi asing dalam industri. Selain maestro, dia juga pernah menggalas pelbagai tanggungjawab bukan saja sebagai pengarah muzik, bahkan juga juri untuk pelbagai pentas berprestij.

Tok Ram bersama-sama pihak wakil penaja akan menilai kemampuan peserta dan akan menyalurkan peserta ke cabang seni yang sesuai dengan kemampuan mereka seperti muzik, lakonan atau pengacaraan.

Penyertaan untuk program tersebut adalah secara percuma dan Tok Ram serta penaja akan mengumumkan mengenai platform digital manakah yang bakal menjadi platform tayangan dalam sidang media kedua kelak.

Pada masa sama, Ramli berkata, inisiatif tersebut diambil bertujuan mencipta masa depan lebih baik buat anak-anak seni tanah air terutama barisan pelapis.

“Sekarang ramai artis yang ‘langgar’ saja benda-benda macam ini (jati diri dan tatasusila). Saya lihat perkara ini selama berdekad-dekad dan nampaknya ia dah mula jadi sesuatu yang normal.

“Kalau nak dibandingkan dengan zaman Allahyarham P Ramlee, disiplin mereka lebih padu terutamanya dari segi pengurusan masa. Inisiatif ini adalah untuk masa depan industri kita juga.

“Selari dengan peredaran zaman, Panggung Tok Ram akan diterbitkan dalam pentas kami sendiri berteraskan digital dan bukan untuk siaran televisyen,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, Panggung Tok Ram bukanlah sebuah program realiti televisyen yang hanya memakan masa selama 10 minggu, sebaliknya, program tersebut berterusan.

“Ia adalah program berterusan dan minimum yang akan memakan masa selama dua tahun.

"Diharap dalam tempoh itu nanti kita akan dapat lihat dan kenal pasti sikap peserta dan cabang seni mana yang lebih sesuai untuk mereka," katanya.