Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mila menggigil lihat IG Nonny, seru sahabatnya pertahan hidayah

Pelakon Mila Jirin berharap sahabat baiknya, Nonny Nadirah akan mempertahankan hidayah diberikan Allah SWT dengan terus bertudung.

Kata Mila melalui Instagram Live sebentar tadi, sahabatnya itu sedang diuji.

“Nonny Nadirah diuji. Semoga dia tarik balik apa dilakukannya,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Nonny memuat naik hantaran video memaparkan imej wanita tidak bertudung, berseluar pendek dengan mengenakan stoking jaring yang menimbulkan seribu satu persoalan melalui Instagram (IG) miliknya sejak malam tadi.

Hantaran itu turut disertakan dengan keterangan gambar berbunyi: “'It's good to be back.” (Rasa bagus untuk kembali).

Pelakon dan penyanyi itu juga memadam semua hantaran lain sebelum ini pada akaun yang memiliki 485,000 pengikut tersebut. Di Instagram Story pula, pemilik nama penuh Nonny Nadirah Zainuddin, 31, turut memuat naik video sama.

Pada perkongsian berbeza dibuat sebelum itu, Mila atau nama penuhnya Norsyarmilla Jirin mengimbau kenangan bersama Nonny ketika mereka berada di Mekah sebelum ini.

Katanya, dia bersyukur melihat perjalanan Nonny mengambil keputusan untuk berhijrah (memakai tudung) selepas pulang dari menunaikan umrah ketika itu.

“Dekat atas bukit Marwah tu ku cakap pada mu (kamu) cantik bertudung. Ku mohon pada Allah agar mu kekal bertudung. Alhamdulillah bila mu buat keputusan berhijrah, ku antara hamba Allah yang paling seronok.

“Tapi Non (panggilan untuk Nonny), semalam aku menggigil lihat IG mu. Ku hubungi mu, Alhamdulillah dapat bercakap dengan mu sekejap. Ku sedih Non.

“Non, ku mohon jangan buat perkara bercanggah dari perintah Allah. Non, ku mohon jangan sia-siakan hidayah dihadiahkan Allah. Ku mohon, lawan godaan syaitan. Ramai sayang mu Non,” katanya.

Mila, 33, berkata, sekiranya Nonny menyayangi persahabatan antara dia dengan penyanyi Nur Heliza Helmi, janganlah disia-siakan hidayah diberikan Allah SWT padanya selama ini.

“Ku 100 peratus percaya itu bukan mu. Ku cakap Instagram mu kena godam. Tapi Non… luluh hatiku, sedih sangat. Ku rasa macam nak ke Sabah semalam juga jumpa dan dengar apa masalah mu.

“Rezeki milik Allah. Usaha, ikhtiarlah apa jua cara selagi mana ia halal dan dapat keberkatan. Allah sedang ujimu wahai sahabat. Tolong kuat. Jangan terpedaya dengan syaitan.

“Terakhir ku mohon, dengan sepenuh hati, janganlah mu berubah kepada kehidupan yang lagha dan penuh sia-sia. Ramai sayang mu Non. Allah sayang mu,” katanya.