Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Keberanian Nabila turun ke medan perang itu yang harus dipandang’

Masih belum reda isu nyanyian finalis Nabila Razali 'terkucil' di pentas Anugerah Juasa Lagu ke-35 (AJL35), kali ini penyanyi Alyah pula muncul bersuara.

Kata Alyah, meskipun Nabila ada melakukan kesilapan, kekalahannya itu tetap "bermaruah" kerana dia sudah memberikan persembahan mengikut kemampuannya pada malam itu.

"Terpanggil untuk bercakap tentang adik kita yang lawa dan peramah ni. Banyak kaliu jumpa, dia akan sapa kita dulu.

"Dia kalah (seperti) seorang srikandi. Dia kalah bermaruah. Dia jalankan tugas dia dengan sehabis baik," katanya.

Menurut pemilik nama asal Noor Hasliah Abu Hassan itu, bukan kesilapan Nabila yang harus dipertikai sebaliknya pandanglah usaha yang dicurahkannya.

"Seumpama dia berlari ke medan perang dengan pedang yang tumpul. Bukan pedang tu yang harus kita lihat tapi keberaniannya turun ke medan perang itu yang harus dipandang," katanya.

AJL35 yang berlangsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 15 Mac lalu, menyaksikan Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali itu bersaing merebut gelaran juara melalui lagu Peluang Kedua bersama 11 lagu lagi.

Namun, gara-gara kesilapan pada persembahannya, Nabila mengundang perhatian warganet. Ada mengecam namun tidak kurang juga yang terus memberikan kata-kata sokongan.

Bagi Alyah, 40, terdapat hikmah dalam situasi dilalui Nabila yang juga penyanyi Langkah Berkeyakinan itu.

Katanya, jika dipandang dari sudut positif, nama Nabila, 28, lebih diingati dari peserta AJL35 yang lain.

"Kamu lebih diingati daripada yang lain.

“Bukti sampai ke hari ini semua masih bercakap mengenai kamu (tak kisahlah buruk atau baik)," katanya.

Cuma Alyah mempertikaikan insiden seperti itu tidak akan berlaku sekiranya ada pihak lebih peka.

"Siapa yang membiarkan dia melakukan ini sepatutnya lebih peka… Saya bercakap berdasarkan pengalaman," katanya tanpa menyebut nama sesiapa secara spesifik.