Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Isu pakai barang kemas, MK K-Clique minta didoakan baik-baik

Lantikan MK dari kumpulan Hip Hop terkenal K-Clique sebagai duta pusat akademik dan tuisyen PTTI Group Sdn Bhd dipertikai tidak sesuai kerana imejnya yang sering memakai perhiasan emas.

Namun, sejak memikul mandat sebagai duta pusat akademik tersebut awal tahun ini selain menyertai kelas agama bersama kumpulan tabligh di Jerantut, Pahang sekitar bulan lalu, MK didakwa sudah menukar imejnya yang sebelum ini sering menjadi kontroversi di media sosial.

Ditanya soal itu kepadanya, pemilik nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan itu hanya meminta dia didoakan yang baik-baik saja.

“Tentang hal tu (tak mahu pakai gelang emas) doa saja yang baik-baik. Yang baik kita jadikan teladan dan buruk pula sebagai sempadan.

“Saya tak boleh nak kata ya atau tak, takut akhirnya memakan diri. Biarlah ia terjadi tanpa dipukul canang.

“Cuma seiring usaha memperbaiki diri, saya cuba jadi lebih baik daripada sebelum ni. Namun karakter saya dalam dunia hiburan masih sama seperti dulu,” katanya.

Menurut MK, sebagai manusia biasa, dia tidak pernah sempurna namun, setiap sudut kecaman dan kritikan dilemparkan kepadanya akan dinilai sebaik mungkin.

“Saya tak pernah sempurna. Di luar konteks kerja seni hiburan, saya tetap manusia biasa yang mahu mencari keseimbangan hidup,” katanya.

Mengenai serba-serbi kisahnya yang menjadi ruang atau modal kecaman warganet, MK berkata, dia sudah mula terbiasa dengan rentak permainan sebegitu.

“Saya anggap ia rezeki. Apa saja hal dikongsi di media sosial tular dan mendapat perhatian. Dikecam tu biasalah. Macam jadi duta ni pun saya dipertikai kerana dianggap tak layak dari sudut akademik.

“Mereka yang hukum tu tak tahu latar belakang akademik saya. Apa saya boleh cakap adalah, peranan tu buat saya jadi lebih bertanggungjawab.

“Saya sendiri dapat membentuk diri untuk menjadi lebih baik dan berdisiplin. Tapi rezeki tak pernah salah alamat. Amanah ni akan saya pikul sebaik mungkin," katanya.

Bagaimanapun, MK akur, bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang.

“Dalam hidup ni saya percaya kita tak boleh nak senangkan atau puaskan hati semua pihak. Ada yang suka dan sebaliknya. Yang menyukai kita tu pun belum tahu tahap keikhlasannya,” katanya.

Mengakui sedih apabila ada yang mengecam, penyanyi yang membuat penampilan istimewa dalam lagu Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali itu menyedari sememangnya ada calon lain yang lebih layak mengisi tempat duta itu selain dirinya.

“Saya sendiri rasa ada calon lain yang lebih layak. Tapi saya percaya dengan adunan pencapaian akademik dan sedikit pengaruh saya, matlamat mereka untuk mendekatkan diri dengan generasi baru iaitu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dicapai,” katanya.

Sementara itu, mengulas latar belakang akademiknya, MK menjelaskan dia pernah mendapat keputusan 5A dan 3B dalam SPM yang didudukinya pada 2013.

“Saya juga pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di Universiti institut Teknologi Mara Kota Kinabalu, Sabah dari tahun 2012 hingga 2015,” katanya.