Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SOP penggambaran: Apa lagi yang MKN mahu, tanya FDAM

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dilanda tanda tanya mengenai status kebenaran pihak berkuasa untuk mengadakan penggambaran luar selepas mereka memenuhi permintaan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata penggambaran tertutup (in door) yang dibenarkan begitu mengekang produksi, justeru hanya segelintir saja yang melakukannya.

Melalui kaedah begitu, katanya, pelbagai rintangan yang dihadapi termasuk keengganan pemilik rumah atau premis menyewakannya kepada produksi.

"Kalau ada yang sanggup menyewakan rumah mereka pun, jiran pula tidak berpuas hati hingga panggil polis. Pelbagai cabaran dan kesulitan kami hadapi," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Ahmad MKN perlu menyatakan pendirian mereka terhadap draf prosedur operasi Standard (SOP) penggambaran luar yang dihantar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan FDAM sebelum ini.

Kata Ahmad draf itu bukannya baru dihantar sebaliknya dikemukakan kepada MKN sebulan lalu.

“Kami memenuhi permintaan MKN iaitu mengemukakan draf SOP. Finas pun sudah hantar. Kami bersedia mematuhi segala peraturan dalam SOP termasuk melaksanakan ujian swab ke atas kru dan pelakon.

“Tapi kenapa MKN masih tidak memberi kelonggaran? Apa lagi yang MKN mahukan daripada kami? Kami hanya mahu kepastian tapi sehingga kini kami tidak menerima sebarang jawapan,” katanya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Mat London menambah jika ada isu yang timbul daripada draf tersebut FDAM sedia berbincang dengan MKN bagi menjelaskan ia secara terperinci.

“Kami bersedia dipanggil pada bila-bila masa. Ini hal kelangsungan anak seni. Kami tidak mampu menunggu lebih lama lagi.

"Selain FDAM, Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia juga menyatakan pendirian yang sama.

“Sebagai peneraju penggambaran di lokasi, kami para pengarah bertanggungjawab terhadap semua hal produksi. Sampai bila kami harus menunggu sedangkan Singapura, Indonesia dan Thailand pun sudah melonggarkan syarat penggambaran luar,” katanya.

Menurut Ahmad ketika ini penggiat industri seni berasakan seakan-akan industri perfileman tidak pernah dianggap sebagai penyumbang kepada ekonomi negara kerana selalu dipinggirkan.

“Sabah pun sudah membenarkan penggambaran luar. Mesyuarat dalam dewan kini dibenarkan hingga 300 orang atau 500 orang.

"Kami cuma perlukan 30 hingga 40 orang, itupun dalam kawalan yang ketat," katanya.