Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kaka memang idam lebar sayap ke negara luar

Kaka Azraff mengakui dia tidak akan menolak sekiranya ditakdirkan berpeluang untuk melebarkan sayap dalam bidang seni tarik suara ke negara jiran.

Katanya, hampir 10 tahun berada dalam industri muzik tanah air, memang itu adalah impiannya, justeru dia tidak serik mengintai peluang dan ruang untuk berbuat demikian.

“Sebenarnya dah lama Kaka impikan untuk ke pasaran Indonesia. Kaka harap bukan saja boleh lepasi Indonesia malah juga ke Brunei dan seterusnya pergi jauh lagi.

“Jika ada rezeki dapat bekerjasama dengan artis dan komposer lain, memang saya suka dan tidak menolak,” katanya.

Pemilik nama asal Nor Atiqa Noor Azraff itu bercakap demikian pada sidang media mempromosikan lagu terbaru berjudul Karma bersama penyanyi kelahiran Brunei, Jaz Hayat baru-baru ini. Sidang itu diadakan secara maya.

Jaz atau nama sebenarnya Aziz Hayat merupakan penyanyi muda di Indonesia yang kian mendominasi carta-carta muzik di sana.

Penyanyi di bawah naungan syarikat rakaman Sony Music Indonesia itu mula mendapat perhatian selepas muncul dengan lagu berjudul Dari Mata pada tahun 2016.

Semangat Kaka, 31, semakin memuncak selepas gandingannya bersama Jaz Hayat melalui lagu Karma menerima sambutan hangat pendengar.

Menurutnya, dia bersyukur dapat menjalin kerjasama dengan Jaz Hayat kerana Indonesia memiliki pasaran dan pengaruh muzik yang sangat besar.

“Saya tahu industri muzik di Indonesia lebih besar,” katanya.

Karma merupakan lagu ciptaan komposer Farouk Roman dan lirik oleh Aisha Retno yang diangkat menjadi runut bunyi untuk drama bersiri Takdir Yang Tertulis.

Karya diarah pengarah Shahrulezad Mohameddin itu dibintangi oleh Nazim Othman, Nad Zainal, Elvina Mohamad, dan Alvin Chong untuk slot Samarinda yang disiarkan di TV3 ketika ini.

Selain mengintai peluang ke negara jiran, Kaka berkata, dia turut menyimpan hasrat untuk tampil dengan album sulung selepas sedekad berada dalam industri hiburan.

“Ya, dari awal pembabitan, saya tidak pernah tampil dengan album. Hanya single demi single sama ada solo atau duet bersama penyanyi lain.

“Justeru, menjelang 10 tahun pembabitan dalam industri seni tahun depan, saya memang teringin untuk keluarkan sebuah album,” katanya.

Bagi penyanyi lagu hit Bawaku Pergi itu, album tersebut sebagai tanda terima kasih buat peminat yang tidak jemu menyokong karier seninya.

“Besar harapan saya untuk keluar dengan sebuah album tahun depan, sebagai ulang tahun pembabitan saya dalam industri dan menjadi hadiah buat peminat yang setia menyokong karier saya,” katanya.