Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KKMM beri kebenaran bersyarat pada penggiat kandungan kreatif

Kerajaan bersetuju untuk membenarkan industri penerbitan kandungan kreatif beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat bermula 10 Februari ini.

Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah, kebenaran itu tetap bersyarat seperti mewajibkan ujian saringan Covid-19 dalam SOP yang telah ditambah baik.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menerima SOP untuk industri kreatif yang ditambah baik dengan mengambil kira cadangan dan pandangan yang dikemukakan oleh pemain dan penggiat industri kreatif kepada Kerajaan melalui KKMM.

“SOP yang ditambah baik ini akan terpakai dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Saringan ujian Covid-19 pula perlu dilakukan bagi semua tenaga produksi yang terlibat dan keputusan ujian perlu dikemukakan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tiga hari sebelum tarikh penggambaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, bagi jenis aktiviti, kerajaan membenarkan operasi produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan aktiviti penggambaran di studio tanpa penonton.

Perincian SOP itu boleh didapati di laman web MKN dan KKMM.

Saifuddin berkata, syarikat produksi perlu memohon kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) untuk kebenaran aktiviti penggambaran dalam studio tanpa penonton daripada Finas.

Selain itu, Saifuddin berkata, pemantauan berkala juga akan dilaksanakan di lokasi penggambaran oleh penguatkuasa Finas bagi memastikan pematuhan SOP tidak dikompromi.

Bagaimanapun, menurutnya, buat masa ini, SOP sedang diperincikan dan akan dibentangkan dalam masa terdekat bagi aktiviti penggambaran di luar studio (outdoor) termasuk penganjuran acara langsung dan juga tayangan di pawagam

“KKMM berharap agar penambahbaikan kepada SOP industri kreatif akan dapat membantu penggiat bidang ini untuk terus berkarya demi kelangsungan sumber pendapatan masing-masing,” katanya.