'Terima kasih kepada polis kerana menangkap Rhido'
Raja Dangdut Indonesia Rhoma Irama berterima kasih kepada pihak polis negara itu kerana menahan anaknya, Muhammad Ridho Irama, kerana disyaki menyalahgunakan dadah.
Bagi Rhoma, hal itu sekaligus menyelamatkan anaknya itu daripada maut akibat mengambil dadah berlebihan (overdosed).
Ia memang perkara yang tidak diingini ahli politik yang pernah cuba dicalonkan sebagai presiden Indonesia itu kerana sebelum ini pun anaknya pernah dibekas polis atas isu dadah.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada polis yang menangkap Ridho. Sebaik didapati menyimpan amphetamin, dia terus ditangkap.
“Bayangkan jika selepas seminggu, dua minggu, sebulan, dua bulan atau setahun barangkali sudah overdosed.
“Saya sekeluarga bersyukur dan berterima kasih kerana polis dapat membuat tangkapan dengan cepat dan menghindari pengguna dadah macam ni daripada berlarutan menyalahgunakan bahan terlarang itu,” katanya dipetik media tempatan.
Muhammad Ridho, 32, lebih dikenali sebagai Ridho Rhoma dan turut mengikut jejak bapanya menjadi penyanyi dangdut. Kali pertama dia ditangkap atas kesalahan dadah ialah pada 2017.
Air mata menitis ketika ditangkap
Ridho ditangkap ketika mengambil bahan terlarang itu Daan Mogot, Jakarta Barat. Turut dirampas syabu seberat 0.7 gram berserta peralatan berkaitan.
Selepas menjalani rawatan pemulihan selama 10 bulan, Rhido mula menjalani hukuman penjara pada Julai 2019.
Dia dibebaskan pada 8 Jan lalu dan disambut bapanya di luar pusat tahanan tersebut.
Rhoma, 74, mengakui dirinya begitu menyayangi Ridho justeru sanggup memaafkan setiap kesalahan yang dilakukan selain memberi sokongan berterusan kepada anaknya itu.
“Tentu saya berharap Ridho akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya,” kata penyanyi Gali Lobang Tutup Lobang itu.
Pada masa sama kata Rhoma, dia akan terus memantau proses undang-undang yang dijalankan polis ke atas anaknya.
“Ya, pastilah. Saya akan memantau dan berdoa. Dia tu kan anak saya,” katanya.
Selain itu, Rhoma berharap Ridho yang juga pelakon itu akhirnya akan benar-benar dapat pulih daripada ketagihan dadah.
“Walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan harapan, sudah pasti saya tak mahu anak saya sampai dipenjarakan sebaliknya dimasukkan ke pusat pemulihan.
“Bagi saya, jika banyak kali dimasukkan ke penjara, pasti kesannya juga kurang baik,” katanya.
Sementara itu, Rhoma berkata, anaknya itu tidak dapat menahan air matanya daripada tumpah saat dia ditahan polis.
Menurutnya, Rhido memohon maaf dan berikrar untuk tidak menggunakan lagi bahan terlarang tersebut.
“Kiranya, dia minta maaf berkali-kali dan saya bilang (katakan) padanya, saya selalu maafkan kamu,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai