Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Nur Fatimah resah pantau kes Covid-19 Malaysia dari Australia

Situasi Covid-19 yang membimbangkan dengan jumlah kes harian tinggi di negara ini membuatkan penyanyi yang menetap di Canberra, Australia, Nur Fatima bimbang keadaan kedua ibu bapanya yang uzur.

Nur Fatima berkata, kebimbangannya itu tercetus disebabkan kerajaan masih menutup pintu sempadan antarabangsa dan tidak membenarkan kemasukan pelancong secara terbuka buat masa ini.

“Saya sangat risau melihat keadaan Covid-19 di Malaysia. Saya bimbang keadaan ibu bapa setiap kali melihat kes baru di Malaysia semakin meningkat.

“Kedua-dua orang tua saya berusia hampir 70 tahun. Jika apa-apa terjadi pada mereka, saya tak boleh pulang ke tanah air bertemu keluarga. Keadaan tu betul-betul menakutkan saya,” katanya.

Nur Fatima berkata demikian pada sidang media Up Close & Personal with Nur Fatima & Kayda, bagi pelancaran lagu Galeri baru-baru ini. Sidang media itu diadakan secara maya.

Turut hadir, salah seorang komposer lagu berkenaan, Altimet, dan artis rap, Wan Nur Khaleda Aziz, atau Kayda Aziz, 29.

Justeru, kata Nur Fatima, dia selalu berpesan kepada adik-beradiknya supaya selalu menjenguk dan melihat keadaan bapanya, Abd Wahab dan ibunya, Sue Ismail yang menetap di Ukay Perdana, Selangor.

“Saya selalu ingatkan ibu bapa tidak keluar rumah setiap hari. Selain tu, saya juga berpesan pada adik-beradik supaya tengok-tengokkan mereka.

“Saya hanya bertawakal agar mereka selamat dan sentiasa dilindungi-Nya,” katanya.

Mengulas situasi di Canberra, pemilik nama penuh Nur Fatimah Abdul Wahab, 38, itu yang menetap bersama suaminya Mohd Jeffry Wain Wright berkata, keadaan di sana berjalan seperti biasa.

Persembahan masih terhad di Canberra

Katanya, tiada masalah untuk penduduk ibu negara Australia itu untuk keluar menjalankan rutin harian kerana ia mencatatkan kes jangkitan rendah sejak Julai lalu.

“Di sini kehidupan normal seperti biasa. Cuma dari segi industri hiburan, kami yang bekerja sebagai penghibur perlu bergelut.

“Sama saja seperti nasib penggiat seni di negara lain kerana aktiviti persembahan masih terhad. Kecuali undangan nyanyian di majlis perkahwinan. Di kelab malam ada kelonggaran cuma persembahan kurang dilakukan,” katanya.

Beralih angin

Sementara itu, bercakap mengenai single Galeri kolaborasi bersama Kayda, Nur Fatima berkata, pada awal dia gusar untuk mempertaruhkan genre pop dengan elemen hip hop memandangkan dirinya serasi dengan rentak R&B.

Namun, menurut penyanyi yang pernah popular dengan lagu Selembut Sutera itu, tidak salah beralih ‘angin’ selepas mendapat dorongan syarikat rakaman, Warner Music Malaysia.

“Ini memang satu kelainan buat saya sebab saya selesa menyanyikan R&B, tapi peminat memang gemar saya sampaikan rentak balada.

“Kami (Nur Fatima dan Kayda) melakukan proses rakaman ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sedang berlangsung iaitu sebelum saya pulang ke pangkuan suami di Australia.

“Setiap urusan dijalankan sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Selain Altimet, Galeri turut ditulis dan digubah oleh komposer-komposer seperti Omar K, Audi Mok, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga.