Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jade Anh mohon maaf kerana tuduh Stacy punca lakonan dipotong

Selepas insiden membalas ciapan di Twitter bersama vokalis Akim and The Majistret, Akim Ahmad berhubung isu muzik video kumpulan itu, pempengaruh kacukan Jermen-Vietnam, Jade Anh, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Jelas Anh, permohonaan maaf dibuat setelah menyedari terdapat masalah komunikasi dan mengakui ciapannya seakan mengaibkan isteri vokalis tersebut, Stacy Anam.

“Saya ingin membuat permohonan maaf secara rasmi kepada penyanyi itu dan isterinya. Disebabkan masalah komunikasi, saya menyangka perkara ini berpunca daripada masalah cemburu tetapi rupa-rupanya tidak.

“Saya akan lebih berhati-hati selepas ini sekiranya ingin mengeluarkan sebarang kenyataan atau melakukan apa-apa bentuk perbuatan,” ciapnya menerusi akaun Twitter, semalam.

Bagaimanapun, Anh dalam ciapan permohonan maafnya itu masih enggan menyebut nama pasangan tersebut. Semakan terkini mendapati permohonan maaf itu sudah dipadam.

Anh semalam, mencetuskan kekecohan di Twitter selepas mendedahkan babak lakonannya dalam muzik video Rampas dipotong kerana mendakwa Stacy cemburu.

Pendedahan tersebut kemudian mendapat perhatian Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad.

Penyanyi kumpulan Potret itu menafikan dakwaan Anh dah berang akan tuduhan melulu model tersebut terhadap isterinya.

Sementara itu, Anh juga tidak menyangka isu yang berlaku pada tahun 2018 itu menjadi topik hangat dalam media sosial semalam.

Malah katanya, dia juga tidak tahu menahu berhubung ulang tahun perkahwinan pasangan tersebut.

“Sekali lagi, saya tiada niat untuk jadikannya sebagai isu besar. Jujurnya saya cuma ingin berkongsi tentang memori lucu dan pelik tetapi akhirnya tersebar dengan luas.

“Selain itu, saya juga tidak tahu tentang ulang tahun perkahwinan mereka dan tiada niat untuk mengganggu kehidupan pasangan tersebut,” katanya lagi.