Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Intan Ladyana sah isteri Harris, tangguh 3 majlis resepsi

Meskipun tarikh pernikahan mereka terpaksa dipercepatkan sehari, ia tidak menghalang pelakon Intan Ladyana sah menjadi isteri Harris Alif dengan sekali lafaz di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sekitar jam 10 pagi, hari ini.

Kata Harris, 21, yang juga aktor dan penyanyi itu, dia berasa lega apabila segala urusan pernikahannya dengan Intan berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di jabatan agama tersebut.

“Saya bersyukur. Ya lah sebab PKP (perintah kawalan pergerakan) tapi akhirnya setiap agenda dapat diselesaikan. Alhamdulillah. Sama seperti pasangan lain, kami juga mengikut SOP ditetapkan.

“Cuma hari ini Jawi membenarkan tujuh (ahli) keluarga masing-masing daripada keluarga kedua belah pihak. Tahun lalu kami rancang setiap majlis nak dibuat pada bulan ni.

“Ya, kita tak boleh ramal apa akan berlaku pada masa akan datang. Dan bila ditanya pada Jawi, pihak mereka juga memaklumkan tarikh hari ini lebih sesuai,” katanya dalam satu sidang media diadakan di Four Points by Sheraton, Kuala Lumpur. Sidang media tersebut diadakan secara maya.

Acara akad nikah berkenaan disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah dan juga wakil wali. Turut hadir menyaksikan Harris diijabkabulkan dengan bintang Adnan Sempit itu adalah Pendaftar Nikah, Cerai, Ruju’ Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nasir Abdullah.

Pada majlis itu, Harris, menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian. Manakala barangan hantaran iaitu sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki tidak dibawa bersama sebagai mematuhi SOP ditetapkan.

Berkongsi mengenai perasaannya selepas sah menjadi suami Intan, Harris berkata, pada awal dia seolah-olah tidak gementar tapi kemudian menyedari tanggungjawab barunya sudah pun bermula.

“Bermula tanggungjawab sebagai suami. Masa duduk di kerusi akad nikah nak lafaz baru gementar. Tapi bila selesai terus lega. Saya kini ada cabaran baru sebagai ketua keluarga dan suami,” katanya.

Intan, 38, pula berkata, biarpun tidak menempuh majlis idaman seperti diinginkan ketika ini, dia reda asalkan mereka selesai menjalani perkara wajib terlebih dulu.

Katanya, buat masa ini, mereka juga perlu menangguhkan tiga majlis resepsi mengikut situasi semasa Covid-19 dan PKP.

“Dengan penularan meningkat Covid-19, nak rancang macam-macam pun susah, tapi tak mengapa, kami buat yang wajib dan penting dulu. Resepsi ditangguhkan hingga kerajaan umumkan perkembangan terbaru berhubung PKP,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, pasangan itu mengumumkan berita gembira bakal disatukan dan bernikah selepas mula menyulam cinta sejak Mac tahun lalu.

Mengikut perancangan awal, pasangan berkenaan turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang.

Sementara itu, Intan berkongsi dari awal perkenalan, memang segalanya dipermudahkan dia yakin mereka berada di landasan yang betul malah soal perbezaan jarak usia 17 tahun dengan Harris bukan satu isu besar.

"Alhamdulullah, kedua-dua belah keluarga merestui hubungan yang dibina dari awal," katanya.