Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penggiat seni Kelantan turut 'lemas' sejak Covid-19 mengganas

Lebih setahun wabak Covid-19 melanda negara, sekali gus menjejaskan pelbagai aspek kehidupan secara menyeluruh. Di Kelantan kesannya turut menghimpit kehidupan dalam kalangan penggiat seni tradisional tempatan.

Jika sebelum ini golongan penggiat dikir barat antara yang begitu menonjol dalam menghidupkan segmen seni dan budaya tradisional di negeri serambi Mekah itu, kini mereka yang khusus bergantung penuh terhadap hasil kegiatan itu terpaksa 'kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang'.

Bagi pemilik suara emas yang popular dengan gelaran 'Mail Anak Kala', 50-an, kehidupannya berubah 180 darjah sejak Covid-19 menular.

Sebagai seorang tok juara sepenuh masa, Mail atau nama sebenarnya Ismail Che Seman berkata, sebelum ini pendapatannya agak lumayan dan sentiasa mendapat jemputan untuk membuat persembahan.

Katanya, kini dia terpaksa melakukan kerja-kerja kampung untuk menjana pendapatan bagi menampung kehidupan sekeluarga.

"Sebagai pendikir sepenuh masa ini, situasi sekarang agak parah dan terhimpit untuk cari makan.

"Sekarang saya buat kerja kampung macam baiki rumah orang dan seumpamanya. Tapi agak susah juga sebab bukan selalu ada kerja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Mail berkata, sejak pandemik Covid-19 juga, dia tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

"Setakat ini tak ada pun, kita makan apa yang ada sajalah. Nak pergi jauh buat kerja pun tak boleh, apa lagi nak berdikir memang tak boleh langsung.

"Rasa lemas jugalah sebab kita hidup dengan seni, angin tak lepas, duit pun tak masuk," ujarnya.

Situasi sama juga turut dihadapi tukang karut, Tuan Yacob Tuan Ismail, 65, yang hilang punca pendapatan hasil kegiatan dikir barat

Namun, kehidupannya sedikit lega kerana mempunyai wang pencen.

"Saya ini nasib baiklah ada juga sedikit-sebanyak wang pencen untuk menampung kehidupan keluarga seharian.

"Tapi keadaannya tetap berbeza berbanding waktu kita boleh ke sana ke sini untuk buat persembahan," katanya yang popular dengan gelaran Tuan Kob Raja Saring.

Sementara itu bagi tok dalang wayang kulit, Kang Boon Ann, 53, kegiatan kumpulannya dalam seni tradisional itu turut terjejas dalam situasi sekarang.

Ketua kumpulan wayang kulit Sri Cindayu itu berkata, sebelum pandemik melanda kumpulan sentiasa memenuhi jemputan persembahan sama ada di dalam atau di luar negeri.

"Kegiatan kumpulan kami lumpuh sepenuhnya sejak Covid-19 melanda negara, anak-anak buah saya pun masing-masing bawa diri untuk cari makan.

"Dalam keadaan ini saya harap pihak-pihak berkenaan datanglah jenguk dan tanya khabar kami. Setakat ini tiada pihak yang tampil menghulurkan sebarang bentuk sumbangan pun," katanya yang lebih dikenali dengan nama Che Ann.