Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Cemburu pada Maher Zain jadi pendorong Hafiz Hamidun

Hafiz Hamidun mengakui dia 'menyuburkan' rasa cemburu untuk menjadi perangsang kepada projek album zikir terapinya.

Justeru dia menjadikan penyanyi dan komposer antarabangsa, Maher Zain, sebagai sasaran untuk dicemburui.

Kata penyanyi dan komposer tersebut, kejayaan Maher mencatatkan penjualan album laku keras membuat dia ingin melahirkan karya sebagus penyanyi Sweeden berasal dari Lubnan itu.

Justeru, pemilik nama penuh Mohammad Hafiz Hamidun itu berkata, dia menggunakan ‘formula’ yang sama daripada penyanyi Thank You Allah berkenaan untuk konsep album studionya yang keenam, Marhaba.

“Saya cemburu dengan kejayaan Maher Zain, mana-mana album pernah dihasilkannya diterima baik hampir di setiap pelusuk dunia.

“Justeru, saya mahu jadi setanding dia,” katanya pada sidang media pelancaran album Marhaba baru-baru ini. Sidang media itu diadakan secara maya di Damansara Perdana Selangor.

Pun begitu, kata Hafiz, 36, cemburunya itu sememangnya diambil dari sudut positif.

“Ia dalam bentuk positif. Lagu-lagu Maher mempunyai unsur pengulangan yang mudah, iaitu zikir yang diulang-ulang. Liriknya pada bahagian korus juga mudah diingati oleh bukan Muslim.

“Namun apa disampaikan boleh diterima baik pendengar, dari situ saya dapati formula digunakan tidak terlalu kompleks,” katanya yang mengakui tidak mengenali Maher secara peribadi.

Dapat tajaan dari Uzbekistan

Untuk rekod, Marhaba dilancarkan selepas album berisi selawat moden itu tertunda lima tahun ekoran berdepan pelbagai rintangan termasuk penularan Covid-19.

Album mengandungi 13 trek itu sebahagian besarnya dirakam di Istanbul, Turki dan studio Hafiz di Petaling Jaya, Selangor bersama pemuzik dan jurutera pelbagai negara.

Katanya, untuk kos rakaman saja, Marhaba menelan perbelanjaan mencecah RM240,000.

“Sejak 2015, saya berulang alik dari Malaysia, Turki, Mesir dan Indonesia untuk menyempurnakan album ni.

“Walaupun bercuti, saya tetap buat kajian dan bertemu dengan penerbit album dan pemuzik untuk mengkaji selawat yang biasa diterima secara global,” katanya.

Kata Hafiz, disebabkan tertunda lama sangat, dia juga terpaksa merakam semula vokal kerana faktor usia dan perubahan pada kualiti suara.

“Namun, saya tak anggap ia satu pembaziran kerana saya yakin dengan apa yang dimahukan selain berasakan untuk mendapat sesuatu karya berkualiti perlukan pengorbanan,” katanya.

Pada masa sama, Hafiz berkata, dia merancang untuk merakam semua 13 video muzik untuk album tersebut namun segala-galanya nampak mustahil ekoran penularan Covid-19.

“Jika diikutkan, Feb tahun lalu saya dapat tajaan penuh daripada pihak kementerian Uzbekistan untuk merakam video muzik Marhaba, tiket penerbangan kru pun dah dapat.

“Namun, rancangan tu terpaksa dibatalkan gara-gara Covid-19 terutama apabila nanti sukar untuk bergerak membuat rakaman di sana.

“Walaupun begitu, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu video muzik sebelum Ramadan yang akan datang,” katanya.