Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Achey kagum kecekalan guru bertugas hadapi risiko Covid-19

Di samping menjalankan tugas amal, Achey Bocey mengakui dia berpeluang mendekati serta mendengar luahan hati guru-guru ketika turun padang menghantar cecair pembasmi kuman ke sekolah di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Selain tersentuh hati, Achey berkata dia teruja untuk mengetahui perkembangan semasa di sekolah pada saat pandemik Covid-19 meningkat hingga angka jangkitan melebihi 5,000 kes setiap hari.

“Siapa tak gerun keluar rumah pada saat pandemik dalam tahap membimbangkan. Tiada simptom pun boleh positif Covid-19.

“Bagaimanapun, saya melihat guru tidak pernah patah semangat apabila berkunjung ke Pejabat Pendidikan Daerah Klang, baru-baru ini.

“Dalam keadaan risau, saya diberitahu mereka tetap menjalankan tugas dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyedari cecair pembasmi kuman kini menjadi keperluan asas sebagai alat perlindungan diri dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19, Achey bekerjasama dengan syarikat pengeluar produk minyak wangi dan cecair pembasmi kuman, SugarBomb Worldwide Sdn Bhd, menyumbangkan bahan itu kepada 10 sekolah menengah dan tadika terpilih.

Menerusi program SugarBomb Care For You, sebanyak 10,000 cecair pembasmi kuman diserahkan untuk kegunaan guru dan pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi.

“Saya turun padang bukan semata-mata menjadi sebahagian duta SugarBomb, tapi inilah peluang saya mendekati dan mendengar luahan hati guru-guru,” katanya lagi.

Elak bertembung pelajar

Pelakon Kelaster itu berkata, dia seakan-akan tidak percaya betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila dia sendiri turun padang ke sekolah bagi menyempurnakan misinya membuat lawatan.

“Dalam hati, saya macam tak percaya. Tetapi, saya baru tahu betapa ketatnya kawalan keselamatan apabila saya sendiri turun padang ke sekolah.

“Saya juga sempat berkunjung ke beberapa taska dan Sekolah Menengah Tinggi Klang. Saya lihat pihak sekolah menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya tidak dibenarkan bertembung dengan pelajar ketika menyerahkan sumbangan. Apabila sampai ke sekolah, guru sendiri menunggu pasukan kami untuk memeriksa suhu badan dan sanitasi,” katanya.

Menurut Achey, 34, SOP diwajibkan tanpa mengira sesiapa yang hadir selain pihak sekolah turut mensyaratkan penyerahan surat kebenaran terlebih dulu sebelum menghantar cecair pembasmi kuman tersebut.

Tambahnya, dia perlu memakai pelitup wajah dan sarung tangan ketika memasuki kawasan sekolah demi keselamatan pelajar.

“Guru tidak akan membiarkan tetamu, mereka sentiasa memantau dan mengikut hingga sanggup menghantar kami ke kereta ketika pulang. Ini bagi mengelakkan orang luar bertembung dengan pelajar sekolah.

“Besar betul pengorbanan guru dalam menjaga keselamatan pelajar, berpeluh-peluh mereka turun naik menyambut tetamu, selain membantu mengangkat barang,” katanya.

Menurutnya, dia tidak kisah turun padang menghantar bantuan kepada sekolah pada saat pandemik menunjukkan angka yang tinggi.

“Tugas ni lebih mencabar apabila dilakukan pada saat pandemik dengan penekanan norma baharu. Walaupun artis, tetap kena ikut SOP ketat.

“Sebagai figura contoh, saya perlu ada rasa tanggungjawab bagi membantu mencegah penularan Covid-19. Orang melihat petugas barisan hadapan berisiko tinggi, tetapi golongan guru juga sama.

“Tanggungjawab seorang guru lebih besar apabila bertugas di taska kerana ia membabitkan golongan kanak-kanak yang tidak tahu bahaya Covid-19. Saya sendiri melihat bagaimana SOP ketat ditekankan dalam taska.

“Kita seharusnya memberi sokongan kepada golongan sasaran tak kira siapa juga mereka. Saya percaya, kita kena jaga kita,” katanya.