Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Cita-cita Manizha Talash - penari breakdance wanita pertama Afghanistan

Dia satu-satunya perempuan yang menyertai komuniti kecil tarian breakdance di Afghanistan. Pun begitu, Manizha Talash memasang harapan untuk mewakili negaranya di Olimpik.

Breakdance menjadi antara sukan terbaru yang akan dipertandingkan dalam kejohanan itu.

Berpakaian hitam dan berseluar panjang ketika latihan, Manizha, 18, memberanikan diri beraksi di Afghanistan - sebuah negara Islam yang baru bebas dari cengkaman Taliban.

“Saya mahu jadi berbeza. Saya mahu jadi contoh di Afghanistan,” katanya dipetik Reuters.

Pihak konservatif negara itu membantah semua jenis tarian, khususnya yang disertai wanita. Ada segelintirnya bertindak ganas.

Manizha tidak terkecuali, gadis itu mendakwa setakat ini dia menerima beberapa ancaman bunuh tetapi tetap ingin meneruskan minatnya.

Menjadi seorang perempuan sudah cukup bahaya di Afghanistan. Sekolah-sekolah khusus untuk perempuan misalnya sering menjadi sasaran militan sejak dua dekad lalu.

Dan pada Mei tahun lalu, sekurang-kurang 24 orang termasuk 16 ibu terbunuh dalam satu serangan ngeri di wad bersalin.

Rakyat Afghanistan yang berfikiran progresif sebenarnya bimbang terhadap hak wanita jika kerajaan berunding dengan Taliban yang memungkinkan kumpulan itu memiliki pengaruh dalam membuat keputusan.

AS pula sedang bersedia membawa pulang saki-baki tentera mereka.

Menurut Manizha, dia menjadi sedih apabila memikirkan kebarangkalian Taliban akan berkuasa kembali dan akibatnya tidak boleh meneruskan tariannya itu.

“Saya mahu menjadi contoh, seorang individu yang berjaya mencapai impiannya,” katanya lagi.

Diasaskan setahun lalu di Kabul, kelab dianggotai Manizha sekarang sudah mempunyai lebih 30 ahli yang enam daripada mereka adalah perempuan.

Mereka biasanya membuat latihan tiga kali seminggu dengan mempraktikkan langkah akrobatik termasuk headspins (bawah).

Sementara itu, pelatih breakdance Sajad Temurian berkata, adalah sesuatu yang baik sekiranya wanita dapat menyertai aktiviti sukan itu.

“Kami mempunyai empat tahun untuk melatih lebih ramai perempuan di Afghanistan dan memperkenalkan mereka sebagai atlet breakdance kepada komuniti antarabangsa (di Olimpik),” katanya.

Breakdances dilahirkan di jalan-jalan di bandar New York pada tahun 1970-an.

Ia antara empat sukan selain papan selaju, luncur air dan mendaki yang diluluskan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk dimasukkan dalam Paris Games 2024 - satu usaha untuk menarik generasi muda.

Tambahnya, sukan tersebut sangat sukar dan memerlukan pesertanya mempunyai fizikal kuat untuk belajar.

“Ia tidak mudah, tetapi tidak ada perkara yang mudah, anda boleh belajar dan mencapai impian anda,” kata Talash, sambil menambah beberapa pergerakan memerlukan seorang atlet untuk mengangkat seluruh berat badan mereka dengan satu lengan.