Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Daus AF8 mohon maaf pada bekas isteri

Penyanyi Daus Eli tampil memohon maaf secara terbuka kepada Syaza Shamimi Jalaludin Khan gara-gara single terbarunya yang berjudul Takdir Kita didakwa mendatangkan persepsi buruk terhadap bekas isterinya itu.

Kata bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu, tujuan dia membuat kenyataan tersebut bagi menjelaskan beberapa perkara yang sudah disalahertikan segelintir pihak.

“Saya Muhammad Shahril Firdaus atau Daus Eli atau pernah dikenali sebagai Daus AF8 ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bekas isteri dan semua pihak terbabit.

“Baru-baru ini saya mengeluarkan single terbaru berjudul Takdir Kita. Lagu tersebut mempunyai video muzik, namun video berkenaan sudah diturunkan oleh pihak Nova Music kerana menyebabkan persepsi buruk kepada bekas isteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan hubungan jarak jauh selain orang ketiga yang menjadi tempatnya meluahkan perasaan menyebabkan punca Daus terpaksa menceraikan isterinya yang ketika itu baru dua minggu melahirkan anak ketiga.

Keputusan itu juga didakwa terpaksa diambil susulan bekas isterinya itu nekad mahukan perpisahan.

Daus, 32, mengakui dia turut berdepan tekanan dan kemurungan apabila menjadi mangsa cemuhan netizen yang menuduhnya lelaki tidak berhati perut dan tergamak meninggalkan isteri sedang dalam pantang serta anak-anak masih kecil.

Untuk rekod, Daus pernah berkata, kisah perkahwinan dan perceraiannya itu diabadikan sebanyak 40 peratus melalui video muzik Takdir Kita yang dilancarkan sekitar pada 28 Oktober tahun lalu.

Selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, Daus dan Syaza Shamimi bercerai secara sah di Mahkamah Syariah Bintulu pada 1 Februari, tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Delysha Senzela, 6, Myesha Sehrish, 4, dan Ayesha Sheraz, 2.

Sementara itu, melalui teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini, Daus mengakui muzik video Takdir Kita ditarik balik bagi menghormati perasaan bekas isterinya itu.

“Saya tarik balik segala tuduhan dan kenyataan dibuat depan media.

“Saya juga tarik balik segala kenyataan mengenai video muzik Takdir Kita yang bertujuan untuk mempromosi single dan kisah hidup dengan bekas isteri.

“Selepas ni, segala promosi atau pun single terbaru yang bakal dikeluarkan nanti saya akan fokuskan kepada karier dan tidak akan melibatkan masa silam saya.

“Saya juga tidak akan mengaitkan nama bekas isteri di mana-mana tempat serta media massa,” katanya yang turut memohon maaf kepada Nova Music atas segala yang berlaku.

Pun begitu, Daus menjelaskan, penghasilan video muzik berkenaan sebenarnya bertujuan berkongsi pengalaman silam yang dilalui dengan masyarakat.

“Sebenarnya video ni tidak berkaitan secara langsung dengan yang hidup mahupun yang meninggal dunia. Saya cuma nak dekatkan diri dengan masyarakat yang masing-masing ada kisah silam sendiri. Ia lebih kepada umum,” katanya.