ULASAN | Sengsara pekerja budaya dan kreatif di tengah wabak
ULASAN | Manusia sememangnya makhluk sosial. Mereka bukan sahaja tidak boleh hidup bahagia tanpa bersosial, malah ia akan mendatangkan bahaya pada dirinya.
Pergerakan fizikal terbatas, ruang kerja terhad, tiada lagi tempat untuk melepaskan lelah dengan melawat, menonton dan berhibur secara fizikal. Malah surau dan masjid tempat untuk beribadah, majlis ilmu dan membilas jiwa juga sudah terhad ruangnya.
Kita semakin kesunyian.
Tekanan perasaan ini lama kelamaan akan memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Dari sini, bermulalah masalah kewangan dan akhirnya akan menggugat kebahagiaan hidup malah ada yang sudah mencapai ke tahap ingin mencabut nyawa sendiri. Na’uzubillah.
Industri tidak ketara
Kesan daripada penghasilan industri kebudayaan dan kreatif ini umumnya bersifat tidak ketara (intangible) dalam kehidupan, kecuali jika diukur dari segi makan gaji, upah, hasil royalti dan seumpamanya. Mereka yang menjual lukisan dapat duit tetapi yang membeli dapat apa? Kalangan yang menonton filem atau persembahan seni dapat apa? Kepuasan atau kegembiraan - ini kesan bersifat tidak ketara.
Namun dalam konteks sebuah industri, ia mewujudkan peluang pekerjaan bukan tradisonal yang menyumbang kesejahteraan sosial, kesihatan, pendidikan dan kegiatan ekonomi.
Pengusaha dan pekerja industri kebudayaan dan kreatif ini menerima impak yang sangat besar daripada wabak Covid-19. Kebanyakan mereka bukan peniaga atau makan gaji tetap. Maka mereka tiada payung untuk menghadapi hujan.
Dasar kerajaan untuk menyokong pengusaha, seniman dan pekerja kreatif akibat wabak yang melanda ini sukar disesuaikan dengan model perusahaan bukan tradisional ini. Memang kerajaan ada membantu, tetapi pendekatan itu harus disemak kembali bagi memastikan bantuan berkesan. Bantuan seharusnya memberi tumpuan pada ekosistem industri kebudayaan dan kreatif.
Kalangan dalam sektor ini menjadikannya sebagai kerjaya dan sumber pendapatan utama hakiki, sedangkan hasil kerja mereka bukan bersifat barang keperluan (essential) seperti ubat, makanan atau pakaian. Inilah cabarannya.
Tidak seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana modelnya bersifat tradisional. Bantuan kerejaan untuk mereka mudah untuk ditentukan. Misalnya jika pengusaha menerima peruntukan untuk beli mesin pembungkusan, maka mereka sudah boleh membungkus kerepek dan terus dipasarkan kepada peraih atau pembeli.
Kesan wabak kepada industri budaya dan kreatif
Laporan oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) pada Mei 2020 tidaklah mengejutkan kita. Tetapi sebagai manusia yang bekerja, dapatan itu tetap membimbangkan.
Menurut sebuah firma perunding industri filem antarabangsa, Artisan Gateway, China yang merupakan wilayah kedua terbesar di dunia dari segi pasaran box office, telah menutup operasi kira-kira 70,000 pawagam sejak Covid019 melanda pada Disember 2019. Jika sebuah pawagam mempunyai 10 pekerja, maka kiralah berapa ratus ribu yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.
Ini memberi kesan langsung kepada pendapatan studio-studio tempatan dan Hollywood. Penjualan tiket dalam tempoh sebulan, iaitu 24 Januari hingga 23 Februari 2020, hanya sekitar USD 4.2 juta berbanding USD 1.76 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Tinjauan The Art Newspaper, sebuah akhbar seni yang berpangkalan di London dan New York, menganggarkan galeri-galeri seni utama di seluruh dunia akan mengalami kemerosotan pendapatan tahunan sekitar 72 peratus.
Tinjauan ini dibuat oleh Rachell Pownall, seorang profesor seni dan kewangan di Universiti Maastricht, Belanda. Laporannya menganggarkan sekitar 62 peratus galeri persendirian tidak akan mampu bertahan. Galeri persendirian ini rentan untuk gulung tikar lebih awal kerana faktor aliran tunai (cash flow) dan modal perniagaan (working capital) yang kecil dan kesannya adalah kepada ribuan pakerja galeri termasuk artis.
Apa Yang Penting
Angka dari laporan-laporan ini pada akhirnya tidaklah penting sangat. Apa yang lebih penting adalah apa tindak balas kita.
Tulisan ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut tetapi hanya ingin mengajak teman-teman yang berkarya dalam industri untuk berfikir dan bertindak.
Buatlah sesuatu dan angkatlah apa juga cadangan untuk kita terus bertahan malah ia boleh mengubah sikap kita menjadi lebih positif dan proaktif dalam menghadapi cabaran ini.
Virus Ini adalah makhluk biologi seperti kita. Ia tidak akan mati malah boleh berevolusi melawan kembali vaksin yang kita cipta, sama seperti nyamuk Aedes.
Kita sebagai makhluk yang bersosial hanya boleh mengawal, mengurus dan bertahan. Kita akan terus bersosial bersama virus-virus ini. Justeru, kita perlu ubah sikap dan cara hidup sekarang. Kita perlu terus berjuang.
MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai