Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelakon YouTube didakwa buat laporan palsu kes rogol

Seorang pelakon drama YouTube didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas dua pertuduhan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki dan membuat laporan palsu mengenai kejadian rogol terhadapnya, pada Disember lalu.

Tertuduh, Nor Hafizah Shamsuddin,31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pemerasan kepada seorang lelaki berusia 29 tahun sehingga mendatangkan ketakutan sesuatu bencana iaitu akan melaporkan kepada polis bahawa lelaki itu merogolnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran nasi kukus di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa kira-kira jam 3 petang pada 19 Disember lalu.

Nor Hafizah didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa memberikan maklumat palsu kepada anggota polis bahawa dia dirogol oleh lelaki sama dan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dengan niat agar mereka dikenakan tindakan.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di kaunter Balai Polis Kubang Kerian kira-kira jam 12.08 malam pada 20 Disember lalu.

Bagi pendakwaan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, sementara tertuduh diwakili peguam, Riduan Ismail.

Sharifah Amirda Shasha memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Namun Riduan dalam rayuannya meminta ikat jamin yang minimum kerana anak guamnya merupakan seorang suri rumah selain perlu menjaga empat orang anak berusia 10, lapan, tiga dan dua tahun.

"Suami tertuduh juga hanya berniaga secara kecil-kecilan. Situasi ini amat membebankan anak guam saya lebih-lebih lagi negara kini berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

"Ini merupakan kes pertama yang dihadapi tertuduh. Justeru, saya memohon satu ikat jamin yang rendah untuk memastikan anak guam hadir pada prosiding perbicaraan selepas ini," katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua masing-masing dengan seorang penjamin dan tarikh 21 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.