Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bruce Willis mengaku salah tak pakai pelitup muka

Bintang terkenal Hollywood, Bruce Willis akhirnya mengaku kesalahannya tidak memakai pelitup muka sewaktu berada di sebuah premis baru-baru ini.

Willis mengeluarkan kenyataan tersebut susulan kontroversi imejnya yang tular tanpa memakai topeng pelitup muka hingga mengundang kemarahan umum di media sosial.

“Ia adalah satu kesilapan,” katanya dipetik People.

Pelakon Die Hard itu didakwa diusir seorang pekerja selepas memasuki kedai farmasi di Los Angeles tanpa mengenakan pelitup muka pada 10 Jan lalu walaupun sehelai skaf kelihatan tergantung di lehernya.

Tindakannya itu mencetuskan kemarahan pelanggan lain dalam farmasi berkenaan. Dia kemudian keluar dari premis tanpa membeli apa-apa.

Susulan itu, nama Willis, 64, menjadi sohor kini di Twitter selepas imejnya tanpa pelitup muka beredar di media sosial.

California mencatatkan lebih 2 juta kes Covid-19 dengan lebih 930,000 kes di daerah Los Angeles menurut laporan Pusat Pusat Sumber Coronavirus Johns Hopkins.

Seramai 10 orang disahkan positif Covid-19 setiap minit di bandar raya menyebabkan penduduk diwajibkan memakai pelitup muka setiap masa terutama ketika keluar membeli-belah atau berada di khalayak ramai.

Selain berkongsi imej keluarga besarnya meraikan Krismas, Willis juga tidak berselindung mengenai dirinya menjalani kuarantin bersama mereka Disember lalu.

Pada masa sama, Willis, juga menggesa semua orang supaya menjaga keselamatan diri masing-masing dengan mengenakan pelitup muka.

“Semoga semua orang selamat dan terus memakai pelitup muka,” katanya.