Pengurusan nafi Harris Annuar berpesta di ambang tahun baru
Pihak pengurusan Harris Anuar menafikan dakwaan artis di bawah naungan mereka itu positif Covid-19 kerana bercuti dan berpesta meraikan kedatangan tahun baru di Pulau Langkawi baru-baru ini.
Selepas isu tersebut menjadi pertikaian segelintir pihak, Absolut Management dalam satu kenyataan berkata, mereka menjelaskan perkara sebenar bagi mengelak keadaan bertambah buruk.
“Sebelum ini kami mengambil langkah untuk berdiam diri atas sebab tertentu tapi disebabkan terlalu banyak perkara tidak benar disebarkan, pihak pengurusan berasakan perlu perkara sebenar dijelaskan agar tidak menjadi lebih teruk.
“Pihak pengurusan menyangkal spekulasi bahawa Harris Annuar berpesta di Dash Hotel, Ia adalah tidak benar. Harris Annuar juga tidak pernah pergi ke Restoran Cili Kampung seperti yang diperkatakan,” katanya.
Pada 4 Jan lalu, Harris Annuar mengesahkan dia positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pertama di sebuah klinik swasta di Bangi, Selangor yang diadakan sehari sebelum itu.
Hasil semakan Malaysiakini melalui media sosial miliknya, Harris atau nama penuhnya Mohammad Harris Shahrul Annuar, 27, dilempar pelbagai tuduhan selepas memuat naik imej bercuti bersama rakan-rakannya di tempat berisiko mendapat jangkitan.
Dalam imej dimuat naik tersebut, pelakon Lelaki Kiriman Tuhan itu juga dilihat tidak memakai pelitup muka.
Harris Annuar kini sedang menjalani kuarantin di rumah bersama seorang rakannya dikenali sebagai Tajuddin Bakar yang turut didapati positif.
Bersama kenyataan tersebut, Absolut Management turut berkongsi tentatif perjalanan dan lokasi yang dilawati oleh bekas peserta program Hero Remaja 2017 itu.
“Dimaklumkan Harris Annuar berada di Langkawi pada 26 Disember dengan menaiki Langkawi Roro Ferry pada 12.30 tengah hari dan pulang ke Kuala Lumpur pada 2 Jan dengan menaiki AirAsia pada jam 12.50 tengah hari.
“Sepanjang di Langkawi, Harris Annuar mengamalkan prosedur operasi standard dan memakai pelitup muka sepanjang masa serta mengimbas aplikasi MySejahtera setiap kali ke tempat dilawati. Harris Annuar tidak pergi ke mana-mana pesta atau tempat sesak.
“Ini adalah sebahagian dari tempat-tempat dilawati Harris Annuar. Selebihnya pihak pengurusan menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghubungi sesiapa yang mungkin berada di lokasi sama,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Absolut Management turut menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi lagi berhubung situasi menimpa Harris Annuar.
“Pihak pengurusan berharap dengan penjelasan ini, orang ramai tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan tidak benar dan tidak tepat.
“Kami juga memohon agar orang ramai memberikan ruang kepada Harris Annuar untuk berehat dan berdoa agar dia kembali pulih dan sihat seperti biasa,” katanya.
Selain itu, Absolut Management juga menasihati individu yang berada di tempat-tempat dikunjungi oleh Harris Anuar untuk pergi melakukan ujian Covid-19.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan menyokong Harris Annuar," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai