Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Kami tak perlu tayang badan, buka tudung'

Peserta finalis Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 (MPWM 2020) Jastina Mohd Junus mengakui pada awal dia agak skeptikal untuk menyertai pertandingan ratu cantik itu kerana penampilannya yang bertudung.

Selain itu kata Jastina, syarat tidak perlu berpakaian seksi atau menonjolkan bentuk tubuh menjadi faktor utama yang dipertimbangkan sebelum dia mengambil keputusan menyerahkan resume kepada pihak penganjur.

“Kami masih dapat memelihara aurat. Tak ada pihak memaksa kami (beragama Islam) untuk membuka tudung atau memakai baju seksi serta memperagakan bentuk tubuh dalam pertandingan ni.

“Sebaliknya, kami yang berhijab dilayan sama seperti peserta lain. Justeru, kami tak faham kenapa ada pihak mendesak acara ni dibatalkan. Kami tak perlu tayang badan untuk memuaskan hati orang ramai,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah acara berkenaan yang dijadual berlangsung pada 2 Jan depan kerana mendakwa ia program tidak bermanfaat selain menyuburkan budaya hedonistik.

Yadim dalam kenyataannya turut memaklumkan untuk menghantar memo bantahan kepada penganjur MPWM 2020 dan pihak berkuasa. 

PAS pula mendakwa acara berkenaan membawa unsur maksiat dan seharusnya tidak dianjurkan di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam. 

Mengulas lanjut, Jastina yang juga peguam itu berkata, sifat malu terhadap saiz tubuh badan kian terhakis sejak dia menyertai MPWM 2020.

Menurut ibu tunggal anak tiga itu, platform berkenaan banyak membantu wanita bersaiz besar mencari dan membina keyakinan diri sendiri.

“Tahu tak memiliki tubuh badan besar ni bukan mudah? Kami sentiasa berperang dengan diri sendiri untuk membina keyakinan.

“Sebelum ni memang wujud perasaan malu dengan diri sendiri terutama bila saya dah lakukan bermacam-macam untuk menurunkan berat badan,” katanya.

Menurutnya, MPWM 2020 juga bertujuan membuang persepsi negatif masyarakat berhubung seseorang yang bersaiz besar.

“Kadang-kadang ada wanita terpaksa berdepan faktor perceraian disebabkan berat badan,” katanya.

Buang sifat malu wanita bersaiz besar

Sementara itu, seorang lagi finalis MPWM 2020 Shakti Chhabra berkata, pertandingan berkenaan tidak wajar dibatalkan begitu saja disebabkan dakwaan dan desakan segelintir pihak.

Guru tadika dan usahawan berusia 38 tahun itu berkata, negara ini masih mempunyai masyarakat berbilang kaum justeru, pandangan mereka juga harus diambil kira.

“Malaysia mewakili banyak bangsa, secara tak langsung MPWM 2020 mempromosikan negara di luar apabila menghantar wakilnya ke persada antarabangsa dalam kategori ini,” katanya.

Shakti Chhabra 

Melalui pemerhatiannya, Shakti berkata, terdapat wanita bersaiz besar yang tidak dapat membuang sifat malu kerana mereka sukar untuk menyayangi diri sendiri.

Menurutnya, platform berkenaan antara lain mengajar wanita tingkatkan kesedaran untuk tidak berasa rendah diri selain melakukan transformasi diri.

“MPWM 2020 ajar kami untuk buang sifat malu, sekarang ramai wanita bersaiz besar tiada keyakinan untuk jaga penampilan atau imej mereka.

“Kamu mesti cintai diri sendiri baru boleh ajar orang lain cara kamu ingin dipandang dan MPWM 2020 memupuk sikap kami ke arah itu,” katanya.