ULASAN | Aduhai Finas, aduhai...
ULASAN SENI | Ada banyak sebab mengapa minda orang Melayu biasanya macam terkena sumpahan sehingga menjadi sembab dan pemikirannya lembab. Salah satu daripada sekian banyak sebab itu ialah kerana faktor sikap.
Apa yang dimaksudkan dalam tulisan ini adalah perangai orang Melayu terhadap sejarah dan khazanah seni yang mereka miliki serta sikap mereka terhadap sastera dan budaya yang mereka ada.
Sewaktu filem ditayangkan kepada umum untuk pertama kali di Grand Café, Paris pada tanggal 28 Dis 1895, kita di Tanah Melayu ini masih belum dapat membayangkan apakah yang disebut sebagau "filem" itu.
Tanah Melayu kala itu masih penuh dengan gelora. Situasi dan suhu politiknya barangkali goyah seperti sekarang juga. Sampai ada beberapa kerajaan negeri yang secara politikalnya ‘goyang’ kerana berasa terancam dan tak selesa.
Pada hujung abad ke-19, British yang lama menguasai Tanah Melayu mula memikirkan suatu jenis pembentukan entiti pentadbiran yang lebih efektif, lebih berkesan dan lebih berkuasa. Tujuan mereka, agar kedudukan sedia ada diperkukuhkan lagi.
Untuk mencapai usaha itu, mereka berhadapan dengan konflik politik, krisis kepercayaan dan kemelut keabsahan kerana semua itu adalah sesuatu yang “unprecedented.”
Hasrat British ialah untuk menjadikan kesemua negeri yang sebelum itu ditadbir secara berasingan dapat disatukan dan diseragamkan pada aspek pertahanan, perundangan dan kewangan lalu dapat ditadbir dengan lebih selaras.
Di tengah-tengah gejolak kumuh politik di Tanah Melayu itulah filem mula mengembara. Ia menjelajah ke serata dunia sambil memperkenalkan kehebatan dan keindahan mencipta sejarahnya.
Filem pertama di Singapura
Penduduk Tanah Melayu mula mengenali filem hanya pada Ogos 1897 apabila ia ditayangkan buat pertama kalilnya. Ia merupakan filem berkenaan majlis perarakan diraja bersempena sambutan jubli emas Ratu Victoria ditayangkan di teater Alhambra, Singapura.
Keadaan di sana dirakam dalam satu laporan akhbar The Malay Mail bertarikh 3 Ogos 1897 yang menyebut: "... momentarily forgetting to marvel at the new invention instead rose simultaneously and sang a verse of God Save the Queen. This was followed by ... ringing cheers, with the Borneo (Native Police)... meanwhile standing at the salute.”
Kira-kira tiga bulan selepas sejarah itu dicipta - atau tepatnya 27 Nov - satu lagi tayangan diadakan di The Selangor Club, Kuala Lumpur.
Maka bermulalah sejarah perfileman negara. Acara-acara tayangan filem mula berkembang biak di sini sana. Pawagam-pawagam yang dipanggil “theatre” pun mula dibuka. Sehinggalah Tanah Melayu menerbitkan filem pertamanya berjudul Xin Ke (Pendatang) di Singapura pada 1927.
Perkembangan hebat itu kemudian membawa kepada penghasilan filem berbahasa Melayu sepenuhnya pada 1934. Filem berjudul Leila Majnun dan diarahkan oleh BS Rajhans itu membariskan para pelakon bangsawan paling popular pada zamannya.
Malangnya filem tersebut gagal dikesan jejaknya dan kini dipercayai lenyap secara abadi.
Sepertimana apa yang dijelaskan oleh teoris dan sejarawan filem terkemuka Malaysia, Hassan Abd Muthalib, P Ramlee menunjukkan minat yang amat bersungguh untuk menonton sendiri Leila Majnun itu pada 1950-an namun 'kempunan' hingga ke sudah.
Dia gagal mendapatkan sebarang salinan filem tersebut.
Walaupun negara ini memiliki sejarah filem lebih dari 100 tahun lamanya. perjalanan panjang sejarah seni filem kita kelihatan tidak pernah mematang dan mendewasakan pemikiran kita.
Buktinya, sejarah dan khazanah filem negara ini yang kini berusia 123 tahun masih lagi tercari-cari imejan identiti. Filem Malaysia masih tercari-cari suara di negaranya sendiri.
Filem Malaysia yang bersejarah panjang itu ditinggalkan oleh banyak industri lain di tempat paling belakang sedangkan ia bermula lama selepas negara ini mendapat kemerdekaan.
Semua ini adalah berpunca daripada perangai dan sikap 'orang kita'. Filem - yang seharusnya menjadi teks sastera dan seni budaya negara - gagal menjadi sumber yang memperkayakan minda dan pemikiran bangsa.
Filem yang seharusnya jadi komoditi negara buat memperkaya akal budi rakyat, kini sebaliknya terjebak jatuh ke dalam budaya-budaya popular.
Tanpa satu sen dari Finas
Reaksi Pengerusi Finas mengenai ikon pengarah muda baru-baru ini mungkin dilihat penting kepada sejarah filem negara. Memanglah. Ia penting, cuma malangnya ia juga menampakkan adanya kelemahan ketara dan kegagalan terbesar tentangnya.
Hal ini dapat dihidu sebaik sahaja pengerusi itu memaksudkan niatnya dalam katanya: “Dia berjaya terbitkan sebuah filem, tapi mungkin dari sudut teknikal dan kualiti tu boleh dipertikaikan. Namun, apa ingin saya tekankan adalah kejayaan Syahmi mengutip RM7 juta tanpa guna satu sen pun duit Finas.”
Ini adalah tanda. Ia tanda bahawa industri filem memang sudah lama terpuruk dalam celaka.
Reaksi Finas ini adalah sikap dan perangai kolonial. Sistem politik kolonial memang suka menekan kehidupan orang Melayu seperti semasa mereka membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1895 yang bertujuan membentuk naratif bahawa mereka adalah releven dan berkuasa.
Walhal sejak 1980 apabila Finas ditubuhkan, agensi itu gagal memperbaiki kedudukan industri filem negara ini dalam semua hal-hal berkaitan dasar. Finas gagal membangunkan industri perfileman negara ini dengan polisi dan akta yang diwujudkan.
Nasib para pekerja industri filem tidak pernah mahu diperjuangkan sungguh-sungguh dengan sistem perundangan kerja yang menjaminkan.
Sisi pembangunan filem yang seharusnya memperbaiki paling tidak empat aspek asas iaitu restorasi, pengarkiban, penayangan dan penjualan filem masih sangat mengecewakan.
Kemudian tiba-tiba Finas nak angkat seseorang jadi ikon industri perfileman negara sebab kejayaan pengarah muda itu menghasilkan filem tanpa guna satu sen pun duit Finas?
Jadi sekarang kita hanya ada dua pilihan. Sama ada anggap saja Finas tidak wujud atau terus bergelut bikin filem tanpa guna satu sen pun duit Finas.
HARIS HAUZAH ialah lelaki naif dan inosen yang mahu sihat dengan rokok dan burger.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai