Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penggiat seni gembira rancangan Jokowi beri vaksin Covid-19 percuma

Khabar gembira diumumkan Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang berjanji untuk memberikan vaksin Covid-19 secara percuma disambut baik rakyat Indonesia termasuk dalam kalangan artis.

Mereka antaranya penyanyi Bidadari Tak Bersayap, Anji, 42, yang turut memuat naik berita tersebut melalui akaun Instagram miliknya hari ini.

“Sebuah jawapan dari banyak pertanyaan dan keraguan. OK ni pak @jokowi,” katanya.

Penyampai televisyen terkenal Deddy Corbuzier, 43, juga turut membahas perihal Jokowi yang akan memberikan seluruh rakyat Indonesia vaksin Covid-19 secara percuma.

Dia turut memuji pengumuman presiden Indonesia itu.

Di sisi lain pula, Dedy juga menyatakan bahawa dia akan membincangkan perkara tersebut dengan Dr Tirta yang diketahui salah seorang tokoh perubatan yang terkenal begitu lantang berbicara soal pandemik.

 

“Suatu hari kita bahas, debat dan tanyakan di #closethedoor dan vital. Sekarang kita dapatkan jawapan @dr.tirta mantap Pak @jokowi. Sekarang pastikan ia semua selamat untuk semua orang,” katanya.

Pengacara Olive Lee turut meluahkan kegembiraannya sebaik mendapat tahu Jokowi benar-benar akan memberikan vaksin tersebut secara percuma. Dia malah berharap presiden tersebut benar-benar menepati janjinya itu.

“Terima kasih pak @Jokowi. Janji ya percuma. Selama tinggal di Indonesia tak pernah merasai yang percuma,” katanya melalui Instagram Stories.

Jokowi mengumumkan vaksin percuma Covid-19 melalui akaun YouTube Sekretariat Presiden hari ini. Keputusan itu juga diambil selepas pemerintah mengira jumlah kewangan negaranya.

“Selepas menerima banyak maklumat awam dan mengira semula kewangan negara, melakukan perhitungan ulang, dapat saya sampaikan bahawa vaksin Covid-19 untuk masyarakat adalah gratis (percuma),” katanya.

Kes positif Covid-19 di Indonesia mencecah 629,000. Jumlah sembuh dari kes tersebut yang terkini adalah 517,000 orang sementara 19,111 korban sudah dicatatkan.

Beberapa selebriti Indonesia pernah dijangkiti Covid-19 antaranya Detri Warmanto, Andrea Dian, Twindy Rarasati, Melaney Ricardo dan Yusuf Mansur.