Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga ciptaan Hael Husaini antara 12 lagu bersaing di AJL35

Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) 'didominasi' Hael Husaini apabila tiga lagu ciptaannya layak dibawa bertanding untuk dinilai pada 7 Feb tahun depan.

Tiga lagu berkenaan - yang diumumkan dalam episod ketiga separuh akhir Muzik Muzik 35 (MM35) malam tadi - ialah Hati, Belenggu Rindu dan Peluang Kedua.

Hati dan Belenggu Rindu dicipta Hael bersama Ezra Kong, manakala Peluang Kedua ciptaan bersama penyanyi dan komposer terbabit bersama MFMF.

Hati dinyanyikan sendiri oleh Hael manakala Belenggu Rindu didendangkan Jamal Abdillah. Wany Hasrita pula membawakan Peluang Kedua yang asalnya dinyanyikan Nabila Razali.

Selain itu, dua lagu Siti Nurhaliza turut mara ke AJL35 iaitu 7 Nasihat dinyanyikan Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta serta Aku Bidadari Syurgamu ciptaan Ippo Hafiz (Aishah).

Tujuh lagu lain yang turut mara ke AJL35 ialah Semalam nyanyian Aina Abdul, Hutang (Floor 88), Gundah (Ernie Zakri), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Eh (Zizi Kirana), Kau Sakiti (Amir Masdi) dan Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B).

Selain tersenarai lagu yang layak ke AJL35, Belenggu Rindu turut diumumkan sebagai lagu terbaik untuk episod ketiga separuh akhir MM35.

Episod ketiga separuh akhir MM35 turut diserikan dengan persembahan daripada Jaclyn Victor dan Lah Ahmad dengan lagu Ceritera Cinta.

Lagu berkenaan pernah memenangi kategori vokal terbaik Anugerah Juara Lagu 22 pada 2008.

Separuh Akhir MM35 malam tadi diacarakan Sherry Alhadad dan Haziq Hussni dan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dan saluran YouTube TV3.

Semua episod separuh akhir MM35 berlangsung tanpa penonton dan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.