Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih seminggu lumpuh sebelah muka, Faye selamat lahir anak kedua

Selepas lebih seminggu mendedahkan mengalami masalah Bell’s Palsy, pelakon Faye Kusairi hari ini mengumumkan dia selamat melahirkan anak kedua pada 13 Disember lalu.

Katanya, dia dan bayi perempuannya itu berada dalam keadaan sihat dan sudah dibenarkan pulang ke rumah.

“Assalammualaikum, saya ingin berkongsi berita gembira kepada semua.

“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan anak perempuan kami pada Ahad lalu. Syukur ke hadrat Ilahi juga saya dan bayi berada dalam keadaan sihat.

“Hari ini saya dan bayi sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya pada hantaran di media sosial.

Sebelum ini, Faye, 33, berkata dia mengalami Bell’s Palsy hingga menyebabkan  hanya sebelah sahaja otot mukanya yang berfungsi, manakala sebahagian lagi mengalami kelumpuhan.

Menurut laman Myhealth Kementerian Kesihatan, Bell’s Palsy adalah satu kelemahan otot muka disebabkan oleh inflamasi pada urat muka.

"Sebahagian atau sepenuhnya urat saraf akan berhenti berfungsi sehingga inflamasi berkurangan.

"Ia berlaku secara tiba-tiba, biasanya di sebelah muka. Ia paling biasa berlaku di antara umur 10 dan 40 tahun. Faktor penyebabnya masih kurang jelas.

"Majoriti pesakit pulih dalam tempoh 2-3 bulan. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan Bell’s palsy dan kesannya kepada kedua-dua lelaki dan wanita adalah sama," kata laman KKM itu.

Sementara itu, Faye, berkata, dia masih menunggu waktu sesuai untuk berkongsi wajah anaknya kepada umum suatu hari nanti.

Pada masa sama katanya, dia memohon maaf kerana tidak sempat membalas satu persatu mesej peminat selain berjanji untuk mengemaskini perkembangan kesihatannya yang terbaru.

“Terima kasih buat semua yang tak putus-putus doakan kebaikan dan kesihatan saya berkenaan dengan Bell’s Palsy juga selama beberapa hari ni.

“Maaf, saya belum mampu nak membalas semua komen mahupun Direct Message. Saya akan cuba juga kemas kini perkembangan dari masa ke semasa berkenaan perkembangan dan keadaan saya berpantang nanti.

“Saya akan berkongsi gambar bayi tidak lama lagi bila betul-betul sudah bersedia ya. Buat masa ini izinkan saya dan bayi berehat dan kembalikan tenaga selama beberapa hari berpantang,” katanya.