Alunan marhaen dari PPR
Di sebalik pelbagai kekangan akibat Covid-19, lahir program K2K Idol: Ekspresikan Bakatmu.
Pertandingan nyanyian dalam talian itu menjadikan penghuni kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai kumpulan sasar.
Dengan menggunakan Smule dan Facebook sebagai medium penyertaan dan siaran, acara yang pertama seumpamanya itu mendapat sambutan luar jangka meskipun diadakan dalam tempoh yang singkat.
Selain mewujudkan semangat kejiranan, penaung K2K Idol: Ekspresikan Bakatmu, Dr Shahridan Faiez berkata, acara itu bertujuan mengurangkan tekanan serta mengekalkan kesihatan mental peserta.
“Ia bertujuan memberi terapi dan aktiviti bermanfaat kepada penduduk PPR yang diketahui berada dalam keadaan serba sederhana dan mungkin berdepan pelbagai isu sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, siri pertama program berkenaan dimulakan pada 27 November lalu di lokasi PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam.
“Ia menyaksikan, dalam masa seminggu, seramai 50 penghuni mendaftar sebagai peserta dengan kerjasama dari komuniti penduduk di situ.
“Yang paling mengujakan rata-ratanya amat berbakat sekali walaupun daripada skala lokaliti hanya 3 blok PPR saja yang menyertai kami,” tambahnya.
Program tersebut dianjurkan Think City dan rakan strategiknya Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Penduduk Kg Baru Hicom (Perwacom) dengan kerjasama Citi Foundation serta disokong kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor Incorporated.
Ia memaparkan juri yang terdiri daripada individu berpengalaman dalam industri hiburan tanah air dari peringkat awal hinggalah ke malam kemuncak program yang berlangsung malam semalam.
Bagi peringkat saringan, juri-juri adalah Asheed DEFGABC dan Aru ROB, untuk kategori Top 10 pula diadili Damian VE dan Salwa Abdul Rahman manakala bagi acara penutupan, Michelle Wee dan Andy Flop Poppy. Baby Shima turut dijemput selaku mentor program dan Radhi Khalid sebagai hos acara.
Selepas hampir 20 hari melalui pelbagai fasa pertandingan, lima peserta akhirnya berjaya ke peringkat akhir pada 13 Dis lalu.
Pertandingan itu dimenangi Mohd Nor Izwan Mohd Yazid (bawah) yang menggondol wang tunai RM 1,500.
Bagi tempat kedua wang berjumlah RM800 dibawa pulang oleh Dayana Ahmad dan tempat ketiga, jatuh pada Siti Nur Aishah Lokman (RM500) manakala bagi hadiah sagu hati dimenangi Muhammad Haris Mohd Iqbal dan Alauddin Amri. Mereka masing-masing membawa pulang wang sebanyak RM200.
Shahridan berkata, pihaknya tidak menyangka boleh menemui banyak bakat tersembunyi selepas K2K Idol: Ekspresikan Bakatmu itu dilaksanakan.
“Banyak impak positif yang terhasil, contohnya yang sedang berlaku di PPR Kampung Baru Hicom. Ia secara tak langsung mewujudkan satu komuniti seni.
“Sebelum ini mereka tak pernah mengenali antara satu sama lain. Namun kini mereka sangat aktif berhubung walaupun berkenalan dalam tempoh yang singkat.
“Ini sebenarnya misi utama yang kami mahukan, semangat muhibbah dan kejiranan telahpun terpupuk dan itulah tujuan asal K2K Idol: Ekspersikan Bakatmu yang merupakan akronim bagi perkataan; Kita Untuk Kita.
"Sekarang kami dalam progres mengadakan program ini ke seluruh PPR di pelbagai pelusuk Tanah air dan ianya peluang rehlah bagi marhaen di situ,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai