Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jason Momoa hadiahkan lembing Aquaman pada peminat hidap barah

Pelakon Aquaman, Jason Momoa mengirim beberapa hadiah termasuk lembing bercabang tiga atau 'trisula' sama saiz seperti digunakannya dalam filem tersebut kepada seorang peminat yang sedang berjuang melawan barah.

Melalui Instagram miliknya, Momoa memuat naik beberapa siri imej memaparkan peminat Aquaman tersebut dengan koleksi mainan seperti figura aksi, dan lembing berkenaan.

“Ingin berkongsi gambar anak lelaki yang luar biasa ini Danny Sheehan, Natalie, ibunya yang hantar (imej) berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Andy Smith @splaycollectibles kerana telah mengumpulkan beberapa figura aksi dan mainan untuk Danny dan @wbpictures kerana menghantar trisula Aquaman; Mahalo untuk semua orang yang terlibat dan keluarga Sheehan,” tulisnya.

Momoa, 41, juga menulis dalam kad yang dikirimkan kepada Sheehan dengan ucapan: "Tak sabar untuk menunggang ikan lumba-lumba denganmu Danny. Sayang, pakcik Aquaman."

Sheehan yang berusia 7 tahun mempunyai penyakit barah otak yang sangat jarang berlaku disebut pineoblastoma. Kanak-kanak itu didiagnos mengidap penyakit berkenaan pada 2017 ketika dia baru berusia empat tahun.

Menurut Mayo Clinic, jenis barah tersebut menjejaskan sebahagian otak yang menghasilkan melatonin, iaitu hormon yang membantu seseorang mengimbangi kitaran tidur.

Momoa pertama kali mengetahui kisah peminat ciliknya itu beberapa minggu lali selepas kawan-kawanya memaklumkan perkara itu dalam talian.

Momoa yang juga pelakon Braven itu kemudian mula berbual dengan Sheehan melalui FaceTime.