Ejen Ali tempa kejayaan baru, tembusi pasaran China
Primeworks Studios dan WAU Animation hari ini mengumumkan kerjasama dengan platform penstriman video terbesar China, Tencent Video bagi menayangkan siri animasi Ejen Ali di sana.
Mula bersiaran sejak 1 Dis lalu, siri animasi popular itu dialih bahasa kepada Bahasa Mandarin dalam usaha menarik minat penonton, khususnya kanak-kanak, di China.
Kerjasama itu dibuat melalui perjanjian perkongsian kandungan dengan syarikat kandungan dan jenama kanak-kanak China, Cawro, yang menjadi pengedar rasmi untuk pasaran di sana.
Ini merupakan kali pertama Ejen Ali menembusi pasaran di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu, di saat permintaan kandungan video dalam talian di platform Over The Top (OTT) di negara itu menjadi pilihan utama pengiklan dan akan terus berkembang.
Malah dalam tempoh empat hari tayangan di Tencent Video, siri itu juga muncul sebagai salah satu daripada tiga program luar negara yang meraih rating tertinggi penonton di platform itu.
CEO Primeworks Studios dan Rangkaian Televisyen Media Prima Khairul Anwar Salleh, berkata berikutan sambutan positif penonton terhadap filem Ejen Ali The Movie tahun lalu, pihaknya merasakan kini masa yang tepat bagi mengorak kerjasama dengan Cawro dalam strategi mengembangkan jenama Ejen Ali ke peringkat antarabangsa.
“Sudah sampai masa untuk animasi terbitan anak Malaysia seperti yang dihasilkan oleh rakan kreatif kami WAU Animation untuk bergerak lebih jauh, mendapat lebih banyak peluang dan perhatian antarabangsa.
“Ini selaras dengan komitmen kami untuk membawa hanya kandungan terbaik Malaysia ke peringkat dunia dan secara tidak langsung memperkenalkan perniagaan pelesenan dan jenama di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Ejen Ali berkisahkan seorang kanak-kanak bernama Ali yang secara tidak sengaja mengaktifkan alat perisik IRIS yang dimiliki agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA).
Akibat mengetahui terlalu banyak rahsia agensi itu, Ali kemudian direkrut sebagai ejen mereka.
Siri animasi Ejen Ali mula disiarkan di TV3 pada tahun 2016 dan kemudian turut disiarkan di lebih 50 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika Utara, India dan Amerika Utara.
Popularitinya juga menyebabkan pihak produksi menghasilkan tiga permainan yang telah meraih lebih dari 7,000,000 muat turun sehingga kini menerusi aplikasi di Apple App Store dan Google Play Store.
Filem Ejen Ali the Movie yang ditayangkan pada 2019 juga meraih kutipan RM32.5 juta di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin pula berkata, tayangan Ejen Ali di China pastinya sesuatu yang menggemberikan kerana dapat membawa siri itu kepada penonton baru di luar negara.
“Kami berharap siri Ejen Ali dapat diterima dengan baik oleh pengguna Tencent Video di China.
"Tentu sekali impian kami adalah untuk membawa Ejen Ali The Movie ke layar filem di sana, namun memandangkan sekarang negara dan industri hiburan bergerak ke tahap pemulihan dari pandemik Covid -19, harapan kami agar impian ini akan menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai