Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Nasihat tentang ‘penyapu’ buat editor Dewan Sastera

WAWANCARA | Fadli Al-Akiti merupakan nama yang dikenali sebagai seorang penulis, pengkritik filem dan pernah mengemudi Dewan Sastera sebagai editor sehingga 2017.

Dekad baru ini, dia kembali sebagai editor buat kali kedua dengan semangat baru untuk menambah baik majalah sastera nasional itu dalam mengharungi era digital.

Dalam wawancara dijalankan selama sejam ini, beliau mengupas tentang pergelutan sastera dalam alam digital, proses kreatif seorang penyunting majalah dan matlamat baru yang ingin dibawa dalam Dewan Sastera.

Berikut wawancara penuh Malaysiakini bersama Fadli Al-Akiti:

SOALAN: Anda menjadi editor pada tahun 2012 ketika Dewan Sastera masih lagi dalam bentuk medium cetak. Kini, anda kembali menjadi editor dan Dewan Sastera berhijrah ke dunia digital. Apakah pembaharuan yang anda ingin bawa ke Dewan Sastera, setelah menjadi majalah digital.

Dewan Sastera kini dalam perancangan untuk menerbitkan majalah edisi jubli emas untuk ulang tahun yang ke-50. Saya mengambil pandangan editor-editor lama yang pernah mengemudi majalah Dewan Sastera. Antara yang diwawancara oleh saya adalah Jaafar Husin, antara editor yang boleh dikatakan prolifik dan hebat pada zaman dia. Saya menanyakan soalan yang sama kepada dia dan jawapan beliau itu kebetulan sependapat dengan apa yang saya ingin bawa ke Dewan Sastera.

Jaafar Hussin kata “A new broom sweeps clean but an old broom knows the corner.” Maksudnya di sini adalah yang lama atau yang sedia ada tidak semestinya tidak bagus dan asyik perlu diubah sahaja. Apa perlunya kita nak buat pembaharuan bila kita sudah ada mereka yang lama melakukan fungsi yang sama dan menjadi “penyapu” yang dapat membersihkan setiap sudut?

Kata kunci di sini adalah penambahbaikan. Sebenarnya pelbagai kehebatan dan inovasi yang sudah dijalankan, apa yang saya hanya nak keluarkan balik sudah dilakukan oleh editor-editor sebelum ini. Jadi saya rasa penambahbaikan itu lebih baik daripada pembaharuan.

Bermula tahun 2018 dua majalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang diedarkan secara percuma adalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa. Ini adalah rancangan untuk memasyarakatakan bahasa dan sastera kepada massa. Ia telah menjadi suatu tanggungjawab sosial Dewan Sastera untuk masyarakat berasa dekat terhadap bahasa dan sastera.

Ini juga merupakan sebab kenapa kami memilih untuk menyiarkan majalah ini di dalam talian. Sebab lain mengapa Dewan Sastera berhijrah ke dunia digital adalah untuk memudahkan akses kepada pembaca antarabangsa. Beberapa pusat pengajian antarabangsa yang melanggan Dewan Sastera sukar untuk mendapatkan majalah kami. Jadi ini adalah antara sebab kenapa Dewan Sastera dibuat secara dalam talian.

Bagaimana nak menampung Dewan Sastera dalam dunia digital?

Secara pengedaran saya rasa tiada masalah kerana memang boleh diakses secara percuma. Tentang cara kerja editorial pula kami mengamalkan berkerja di rumah untuk para editor. Malah kami banyak melaksanakan pertemuan secara dalam talian macam zoom. Apa yang saya faham tentang hal digital ini adalah e-majalah seperti The Paris Review atau New Yorker.

Tetapi bagi Dewan Sastera majalah digital kami berbentuk naskhah dalam talian yang sama seperti membaca majalah secara fizikal. Bagi saya jika kita mahu menjadi e-majalah sebenar seperti di negara barat, saya fikir perlu untuk kita mempunyai sidang editorial yang baru kerana untuk menangani majalah digital ini berbeza dengan bahan bercetak.

Adakah Dewan Sastera akan rasa bergelut dalam dunia digital, tambahan pula dengan kewujudan majalah sastera lain yang mengekalkan medium cetak?

Saya rasa tidak bergelut kerana Dewan Sastera merupakan satu-satunya majalah sastera nasional negara yang memaparkan tulisan karya kreatif dan bukan kreatif dalam bahasa kebangsaan yang jelas mengikuti dan mencitrakan realiti dunia kesusasteraan masa kini.

Walaupun kita ada majalah sastera lain seperti Jurnal Svara yang sangat dialu-alukan ke dunia sastera negara dan majalah Pentas yang khusus tentang hal teater yang dikeluarkan oleh Istana Budaya, saya anggap kesemua majalah berbudaya ini suatu perkongsian kolektif yang sihat dan intelektual. Masing-masing mempunyai peminat dan pembacanya tersendiri.

Bagaimanakah Dewan Sastera menghadapi cabaran dunia dari segi digital, politik dan pandemik agar sastera kita tidak akan terus tenggelam?

Saya perlu berterus terang di sini pada 70-an 80-an sistem pendidikan kita antara aliran sastera dan sains itu masih lagi seimbang. Jadi sebelum kewujudan Tunas Cipta, Dewan Sastera memang antara majalah yang dibaca di sekolah-sekolah dan para guru turut serta mempromosikan majalah Dewan Sastera kepada anak murid.

Jadi sewaktu berlakunya, contoh seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), penguncupan aliran sastera di semua sekolah mula terjadi oleh kerana sisipan bidang sastera sudah masuk ke dalam komsas. Saya tidak mengatakan kalangan generasi muda sekarang tak meminati sastera, tidak, tapi orang kata kedalaman pembacaan dan penelitian isu sastera itu mungkin sedikit kuncup. Ruang sastera untuk berkembang itu semakin kecil. Sebabkan itu terbitnya majalah-majalah baru seperti jurnal Svara, mereka mencari ruang untuk menulis tentang sastera.

Jika ingin dibandingkan dulu dengan sekarang sangat berbeza. Maaf, agak sensitif untuk saya berkata namun kita boleh tanya kepada ahli politik tentang iltizam mereka tentang sastera. Adakah mereka melihat isu sastera sebagai inti penting yang perlu ada dalam hal-hal renungan masyarakat? Adakah Dewan Sastera dipandang oleh ahli politik dan masyarakat secara umumnya apabila hal aliran sastera diperkecilkan? Subjek kesusasteraan Melayu di sekolah menengah diperkecilkan dan diberi ruang kepada subjek seperti ekonomi dan geografi.

Apa yang saya tahu di sekolah-sekolah secara statistiknya pengetua menutup subjek kesusasteraan Melayu khususnya untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebab mereka rasa Komsas dah ada. Itu alasan pengetua sekarang ini. Jadi sebab itulah ada beberapa akademik dan penggerak dasar pendidikan cuba untuk mengembangkan dan melestarikan semula subjek sastera dan subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) yang diperkenalkan bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk menggantikan subjek kesusateraan Melayu. Peredaran zaman yang mencapai hal digital dan perkara seperti pengurusan manusia dimasukkan dalam subjek KMK untuk menangkap minat pelajar dan ibu bapa, dan ia juga diwujudkan agar ada masa depan untuk sastera.

Kalau saya maklumkan di sini di Kuala Lumpur sendiri ada beberapa sekolah saja yang menawarkan subjek KMK. Ini statistik yang kami terima bahawa kebanyakan guru sekolah tidak peduli dengan sastera dan pembacaan. Ini satu fenomena yang mengggusarkan lebih-lebih lagi dengan perkembangan Komsas yang sedia ada sekarang ini. Di sekolah para guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu kemungkinan mereka bukan dalam bidang sastera. Mereka mungkin di kalangan subjek geografi atau sejarah atau ya, mungkin subjek Bahasa Melayu sendiri tapi sastera mereka itu di mana?

Masalahnya bila mengajar di sekolah selalunya para guru ini cenderung untuk pergi terus ke hal Komsas itu, hanya ada beberapa sahaja guru yang betul-betul menghayati apa yang Komsas nak bawa kepada pelajar. Tapi kebanyakan guru, contohnya, hanya guna buku panduan Komsas jenama Sasbadi atau Longman yang mana semua jawapan ada dalam buku itu. Pelajar tak perlu nak baca novel untuk faham Komsas.

Saya juga dimaklumkan oleh seorang rakan guru saya bahawa bila para guru duduk bercakap antara satu sama lain di kantin, apabila diajukan topik hal falsafah atau isu semasa atau mungkin sebuah buku yang baru diterbitkan, para guru tidak boleh bergaul dengan isu ini. Jadi orang kata semangat untuk mengajar sastera itu hilang. Kita perlu lihat balik pada pembangunan guru-guru yang ada sekarang di Institut Pendidikan Guru yang mana mereka mengambil Bahasa Melayu untuk mengajar di sekolah. Jika saya tak silap zaman dulu sesiapa yang ambil pengajian Melayu dia mempunyai ruang penerokaan disiplin yang sangat luas.

Dia bukan sahaja mengenal sastera atau linguistik dia juga mengenal falsafah dan memasuki hal sejarah dan sosiologi. Satu persoalan yang kita perlu fikirkan adakah perkara-perkara ini masih diteruskan dalam sistem pendidikan kita? Isu kesusasteraan ini satu persoalan yang kita perlu tengok balik apa perbezaanya atau kualiti guru kita dulu dan sekarang. Kerana puncanya akan jatuh kepada para pelajar kita dan bagaimana nak menangkap minat mereka. Para pelajar ingin menyukai sebuah puisi yang disisipkan dalam buku teks tapi bayangkan ruang yang nak diberikan itu tidak disampaikan oleh para guru. Itu yang berlaku sekarang ini.

Menurut Emily Nemens, editor The Paris Review, sangat penting untuk penulis mapan bersatu dengan penulis muda dan baru dan memartabatkan sastera bersama-sama. Seberapa pentingkah untuk Dewan Sastera memberi ruang kepada penulis-penulis muda untuk berkarya dan diberi ruang yang sama dengan penulis mapan?

Saya setuju dengan pendapat editor itu. Begini ya, untuk Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang ini ada dua majalah sastera iaitu Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Kita menganggap ruang yang dalam Tunas Cipta lebih kepada gelanggang untuk para penulis muda dan baru untuk menonjolkan bakat mereka. Mungkin yang sangat-sangat baru, mungkin sederhana penulisannya atau mungkin sangat bagus, mereka bolehlah pergi ke Tunas Cipta.

Dewan Sastera ini memang awal penerbitan tahun 1971, para penulis baru juga diberi ruang sebab waktu itu ia satu-satunya majalah sastera. Saya lebih menyukai falsafah yang dipegang oleh Usman Awang sendiri di mana beliau melihat jika ada kekuatan, jika ada satu pemikiran baru yang baru dibuat oleh penulis muda yang memang sesuai untuk dimasukkan dalam Dewan Sastera, laluan itu Insya-Allah, akan dibuka.

Saya rasa setiap penulis ini ada zamannya, ada pelapisnya dan malah suara-suara anak muda ini sudah tertentu berbeza dengan para penulis mapan sebelum ini tapi persoalannya sekarang ini adakah ada kekuatan antara penulis muda dalam ketelitiannya? Adakah penulisan mereka sebaik, contohnya, apabila SM Zakir menulis pada waktu muda menulis dan dimasukkan dalam Dewan Sastera, atau seperti Zaen Kasturi yang menulis pada umur yang sangat muda dan (diterima) dalam Dewan Sastera. Adakah sampai tahap itu ataupun boleh pergi lebih baik lagi dalam kalangan anak-anak muda untuk menulis?

Untuk makluman memang sebelum ini ada penulis muda yang dimasukkan dan saya rasa kesinambungan ini akan diteruskan dan saya anggap memang penting untuk para penulis muda menjadi dan melihat pada bayangan penulis mapan baik sasterawan negara sebagai cerminan kepada apa yang mereka boleh lebih perbaiki untuk mereka dalami atau boleh dikatakan untuk mereka lawan dalam kalangan penulisan yang lama. Sebab masalah dengan dunia sastera Malaysia ialah kita terlalu mengikut tahun penulis itu mula muncul.

Contohnya, tahun 80-an, penulis tahun 90-an atau penulis tahun 2000. Kita tiada imej penulis kumpulan kolektif sebab kita dah mempunyai sejarah sastera sebegitu rupa. Pada awalnya asas era 50-an dan seterusnya orang akan sentiasa fikir penulis dikelompokkan mengikut dekad sedangkan kita mahukan, contoh kalau dunia barat, penulis mereka dipecahkan mengikut kelompok yang menggerakkan bentuk romantisme atau penulis Beat dalam tahun 70-an sewaktu zaman bergelodak anak-anak muda di Amerika melawan institusi waktu itu dan seterusnya ada kumpulan penulis yang terbentuk dan membawa ideologi dan semangat tersendiri.

Ini orang kata memberi kesedaran terhadap dunia sastera itu. Jadi saya mencari ini di Malaysia, di sini lebih banyak dari segi nafas yang lebih individualistik, dia lebih bergerak seorang.

Penulis kita yang dipecahkan mengikut dekad ini merupakan pandangan pihak siapa?

Maksud saya dekad-dekad itu menjadi pemerhatian pengkritik kita. Mereka melihat penulis kita dari segi dekad ke dekad. Kita tidak pernah menangkap sekumpulan penulis ini sebagai mereka membawa, contohnya, new realisme atau pasca modernisme jadi mereka tidak dikelompokkan mengikut gerakan sebegini.

Jadi ini adalah antara suatu permasalahan permodenan kita sebab ia menjurus kepada masyarakat kita untuk menjadi individual yang mempunyai pandangan keperibadian tersendiri dan apatah lagi dalam keadaan Covid-19 ini dunia masih duduk dengan telefon pintar masing-masing, dalam dunia tersendiri. Kemungkinan perbincangan itu ada tapi kita ingin melihat berapa jauh keutuhan sesebuah kumpulan penulis ini.

Apa maksudnya dengan bergerak secara kelompok?

Selalunya dalam kita lihat dalam dunia penulisan barat, contohnya para penulis bergerak dalam gagasan semangat new journalism dalam tahun 60-an dan sehinggalah sekarang. Gagasan new journalism ini ialah cereka yang kreatif dimasukkan dalam ruang penulisan yang berfakta, kadang kadang rasa peribadi, contohnya Truman Capote. Ini satu contoh tradisi penulisan di barat yang mempunyai kesinambungannya dan memberi pengaruh yang besar.

Sehingga kini banyak majalah yang dipanggil majalah berita seperti Times Magazine memang gunakan gaya tersebut. Dan dalam kelompok tersebut, ada pula mazhab-mazhabnya yang lain. Contohnya seperti Hunter S Thompson yang mempunyai semangat dan gaya tersendiri dalam new journalism. Dia kemudian membawa pula beberapa pengaruh lain kepada anak-anak muda yang cuba mengembangkan pula gaya itu.

Kita secara kolektif sebenarnya ada, contohnya seperti kolektif Persuratan Baru, kita ada kolektif Gagasan Sastera Islami dan gagasan itu pula ada beberapa mazhab tersendiri. Persoalannya sekarang ini siapa memegang siapa kerana kolektif yang ada sekarang ini boleh kata terlalu masih macam halus dan sentiasa berubah. Kita tak dapat betul-betul tentukan kolektif-kolektif ini seperti gagasan teori takmilah yang mengerakkan kolektif Persuratan Baru dalam dunia penulisan Islami yang masih samar-samar lagi.

Bila anda membayangkan pembaca Dewan Sastera, golongan mana yang anda nampak? Golongan mana yang anda ingin mereka untuk baca Dewan Sastera?

Seperti yang saya cakap kalau boleh saya nak golongan yang bukan sastera boleh minat sastera dengan membaca Dewan Sastera. Itu yang saya ingin lihat. Sebab saya harap satu perkara yang boleh diperhatikan di sini sastera bukan sahaja kisah-kisah atau penulisan indah yang mungkin diikuti di ruang angan-angan penulisnya tetapi sastera mempunyai nilai kemanusiaan, kebudayaan, pemikiran dan hal-hal kemasyarakatan yang perlu didekati oleh masyarakat.

Masyarakat perlu temui kembali nilai yang mungkin dah hilang dengan teknologi serba bergerak pantas sekarang. Mungkin perbincangan apa perlunya untuk menjadi manusia yang baik. Sastera itu adalah rakaman masyarakat kita yang memang menangkap sisi-sisi suara gundah, marah, sedih — itu antara yang disimpan dalam dunia sastera.

Apakah syarat yang anda tetapkan kepada diri sebagai seorang editor semasa proses memilih karya yang tepat untuk sesebuah isu?

Pada awalnya saya akan melakukan perancangan dan juga berbual dalam kalangan penulis dan ahli-ahli sarjana di universiti untuk melihat apa lagi ruang yang perlu ditelusuri oleh sastera. Sebab contohnya dalam keadaan sekarang ada kepintaran buatan, jadi apa pandangan sastera tentang hal ini. Hal-hal seperti politik dan ekonomi juga, ia buat saya menyoal di mana letaknya sastera. Perkara-perkara berlegar itu dapat tentukan hala tuju sastera sebab sastera patut membangun dengan masyarakatnya.

Bagaimana pula dengan karya yang tidak dipilih untuk sesebuah isu?

Itu tiada masalah. Memang kalau karya-karya itu memang berkualiti saya akan simpan dalam ‘bank’. Saya ada bank majalah sendiri dan pandai-pandai saya untuk menyusun di isu mana karya itu akan diletak. Sudah tentu saya akan menghubungi penulis itu supaya dia tidak tarik balik karyanya untuk disiarkan di penerbitan lain. Itu paling penting, yakni karya itu mesti bermutu untuk masuk dalam Dewan Sastera.

Karya yang anda teringin untuk baca dan diterbitkan dalam Dewan Sastera. Apa yang masih tidak pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera sebelum ini?

Soalan itu bagus. Cuma saya tidak boleh nyatakan sebab ia sedikit pelik. Sebab penulis ada falsafah mereka sendiri, kecenderungan tersendiri dan apa yang mereka nak utarakan dalam karya. Pengalaman saya berbeza dengan pengalaman seorang penulis. Kematangan itu yang menyebabkan mereka dapat menghasilkan sesuatu karya.

Contoh Malim Ghozali PK di mana pada awalnya beliau di antara satu-satunya penulis zaman 80-an yang menulis tentang alam luar negara, sebelum Faisal Tehrani lagi. Zaman itu belum banyak lagi penulis seperti itu. Malim Ghozali PK ini antara perintis seperti Anwar Ridhwan sebab mereka ini pengembara dan banyak urusan di luar negara.

Jadi, kesedaran yang mereka bawa dalam fasa digital ini, dalam fasa yang banyak pergolakan yang sedang berlaku, lebih-lebih lagi tentang isi hati masyarakat yang sebenar-benarnya, kita dapat lihat apa yang mereka perlu perjuangkan. Di situ, kita lihat siapa penulis yang pandai memilih dan mengolah hal-hal itu untuk dijadikan karya yang baik. Itu mungkin apa yang saya nak tengok.

Di manakah tempat Dewan Sastera dalam Malaysia dekad baru?

Soalan itu bagi saya bukan sahaja untuk Dewan Sastera, ia untuk sastera secara amnya. Apa yang kita harapkan adalah ia akan terus menjadi pancaran, citra atau semangat kebangsaan. Sastera kita menjadi identiti dan cerminan masyarakat yang sentiasa akan berubah menjadi corak pemikiran bayangan mengikut peredaran zaman. Seharusnya begitulah Dewan Sastera dan sastera secara umumnya dalam dekad baru ini.


Fadli diwawancara oleh FARHIRA FARUDIN dan NADIA AZAM di pejabatnya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada penghujung November lalu.