Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dulu ketuk dram, sekarang Lola XPDC adun roti demi rezeki

Gara-gara semua persembahan dibatalkan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa, pemain dram XPDC, Lola, tidak menyangka tabungan peribadinya yang dikumpul sebelum ini sudah kosong.

Menurutnya, disebabkan tiada sumber kewangan baru, dia - seperti orang lain yang terjejas pendapatan dek Covid-19 - terpaksa melakukan pelbagai ikhtiar demi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri dan anak-anak.

Antara ikhtiar yang diambil, kata Lola, dia beralih bidang daripada muzik menjadi pengadun roti di rumah dengan harapan dapat menampung setiap perbelanjaan bulanan selain membayar nafkah.

“Sebenarnya, sebelum PKP lagi kekerapan persembahan sudah berkurangan. Banyak tawaran kerja turut dibatalkan.

"Jika ada pun, saya cuma terbabit persembahan di kelab-kelab sebagai pekerja separuh masa dengan bayaran RM150 sehari," katanya.

Dengan jumlah begitu katanya dia boleh bertahan selama kira-kira tiga hari namun dengan ketiadaan tawaran kerja baru lama-kelamaan wang simpanannya pun menyusut.

“Memang tak sangka sebenarnya, kehidupan saya dan keluarga akan berubah jadi sesukar ni sekarang. Mujur timbul idea nak buat roti dan kemudian hantar ke beberapa buah kedai untuk jualan,” katanya.

Selain itu, menurut Lola, 47, satu persatu instrumen muzik kesayangannya terpaksa ‘dilepaskan’ untuk meneruskan kehidupan ketika zaman serba susah ini.

Nak berniaga modal tak ada

“Nak buat macam mana, terpaksalah jual instrumen muzik yang ada, tu termasuk set dram yang dah dipakai bertahun-tahun. Dari situ, dapatlah sekurang-kurang RM5,000.

“Saya juga jual kayu dram yang biasa saya pakai dan hanya boleh didapati dari Indonesia, namun sekarang sudah kehabisan stok kerana rakan yang bantu mendapatkannya sudah bekerja di negara lain,” katanya.

Lola atau nama sebenarnya Saiful Rizla Kamaruddin ditemui pada majlis pelancaran Restoran Marqass Rock Cafe di Taman Cahaya Indah, Ampang, Selangor.

Turut hadir, beberapa rakan pemuzik seperti Rajali B Omar dari Shift Band, Mohd Razali Castro Amit atau Boy Castro (Enigmatic 6) dan Kay Ebrahim (Bedazzle).

Untuk rekod, XPDC juga ditimpa malang apabila vokalisnya, Ali, disambar api sewaktu membakar sampah pada 26 Mac lalu menyebabkan kira-kira 30 peratus badannya melecur.

Difahamkan, hal itu mungkin turut menjadi penyumbang punca tawaran diterima kumpulan turut dianggotai Izo (gitaris) dan Eddy (bass) itu terpaksa dibatalkan.

Bukan setakat itu, kata Lola, dia juga memanggil beberapa rakan pemuzik lain seperti Boy Castro, Kay dan Rajali menyewa sebuah kedai untuk dijadikan restoran sebagai ikhtiar menyara kehidupan.

Bagaimanapun, dia sekali lagi dilanda dugaan apabila tidak mempunyai modal mencukupi untuk mengekalkan perkongsiannya dengan rakan-rakan lain.

“Nak berniaga pun tak ada modal sebenarnya. Wang yang ada cukup-cukup. Apabila dapat Bantuan Prihatin Nasional, bulat-bulat wang tu digunakan bayar sewa,” katanya.