Dituduh rogol gadis, Dai Syed buat laporan polis
Bekas peserta program Dai Pendakwah Nusantara yang dikenali sebagai Da’i Syed membuat laporan polis ke atas pemilik sebuah akaun Twitter susulan dakwaan dia merogol seorang gadis.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor petang tadi, selepas pemilik akaun berkenaan mendakwa rakannya mengalami trauma akibat menjadi mangsa rogol.
Kesal dengan tuduhan terbabit, Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail berkata, laporan polis itu untuk membersihkan namanya selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas terbabit.
"Tuduhan itu terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya. Saya terkejut dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi selama menjadi pendakwah.
"Saya memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut kerana dakwaan itu mencemarkan nama baik saya," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan sebentar tadi.
Dalam laporan dilihat Malaysiakini, Syed, 25, dimaklumkan rakannya bahawa gambar dan kisah dia dikaitkan sebagai perogol tular di media sosial dan Twitter oleh seorang pemilik akaun Twitter.
Pemilik akaun terbabit mendakwa rakannya yang bersifat naif itu dibawa pulang ke rumah Syed sebelum diperkosa.
Syed dalam laporan tersebut turut mendakwa dia tidak mengenali pemilik akaun terbabit mahupun rakannya yang didakwa dirogol itu.
Selain itu, pemilik akaun terbabit turut mendakwa Syed bukan pertama kali berbuat demikian sebaliknya beberapa gadis lain juga pernah menjadi mangsanya.
Syed yang juga penyanyi dan pelakon itu berkata, dia berharap isu terbabit dapat diselesaikan dengan segera selain menyifatkan apa yang terjadi sebahagian daripada cabaran dalam menyebarkan syiar Islam.
“Ia mencalarkan maruah saya dan keluarga. Saya anggap kontroversi ini sebagai dugaan dalam saya menjalankan tanggungjawab untuk menyalurkan mesej Islam," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Balai Damansara ASP Mohd Iqbal Mohamad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai