Selepas Rajawali dirundung mendung, kini The Outerspace muram
ULASAN SENI | Rajawali Art Groupe Internationale - atau ringkasnya, Rajawali - yang ditubuhkan pada 2007 bertujuan untuk mengumpulkan seramai mungkin artis di bawah satu bumbung.
Harapannya dengan itu ia akan memberi lebih semangat kepada artis untuk saling berkembang dalam pemikiran dan juga karya.
Tidak ada keinginan kepada kumpulan itu mengambil bahagian dalam apa-apa kegiatan berunsurkan kesenian selain daripada aktiviti seni catan.
Namun setelah beberapa lama, Rajawali menjadi satu-satunya kumpulan di Pantai Timur yang mengabungkan semua jenis seni. Ia menjadi jenama yang terkenal apabila melibatkan acara kesenian.
Nama kumpulan itu menjadi sebutan oleh semua penggiat seni tanah air dan galeri serta kawasan pentas persembahan Rajawali menjadi tempat yang wajib dilawati pengemar seni dari jauh dan dekat.
Apa saja acara yang dijalankan di galeri atau pentas persembahan yang diberi nama The Outerspace itu akan mengabungkan seni catan dan seni persembahan.
Sentiasa akan ada persembahan bacaan puisi, teater dan kugiran yang mengiringi pameran seni lukis dan juga seni fotografi.
Galeri Rajawali dan The Outerspace juga dikunjungi pelawat dari dalam dan luar negara. Program diadakan setiap bulan dan disertai seniman dari segenap pelusuk dunia.
Rajawali pernah mengadakan bazar lukisan yang terbesar dengan penyertaan lebih 300 pelukis.
Acara yang pada awalnya dirancang untuk diadakan di ruang galeri Rajawali akhirnya dipindahkan ke Muzium Seni Pahang atas saranan exco negeri, Shafik Fauzan Sharif.
Galeri Rajawali juga pernah menjadi hos kepada artis dari Australia, Jepun, Kanada serta Sweden.
Kesemua artis terbabit diberi peluang untuk mengadakan pameran solo atau secara berkumpulan di ruang galeri.
Kebanggaan kumpulan Rajawali waktu itu adalah semua acara yang dijalankan berjaya dilakukan dengan semangat gotong-royong.
Mereka yang terlibat membantu terdiri daripada artis-artis yang sememangnya berkarya di studio Rajawali selain teman-teman yang selalu berkunjung.
Bantuan tenaga dan juga kadangkala kewangan diberikan oleh mereka hanya kerana mahu membantu menjayakan acara. Kerana itu, Rajawali akan sentiasa berterima kasih kepada mereka.
Galeri Rajawali akhirnya ditutup pada 2017 iaitu setelah 10 tahun pembukaannya, namun The Outerspace masih beroperasi sehingga hari ini.
Kumpulan Pengiat Seni Rajawali (Outerspace), sebuah pertubuhan yang berdaftar diberi tanggunjawab oleh kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan sebagai sebuah hub kegiatan seni tempatan.
Kegiatan-kegiatan kesenian masih dilangsungkan dalam skala yang lebih kecil di sana. Hinggalah datangnya musim Covid-19.
Disebabkan kekangan kewangan, The Outerspace mula mengalami kerosakan di sana sini. Tanpa bantuan daripada pihak yang berwajib, The Outerspace akan segera dilanda kemurungan.
Kumpulan yang berjaya membuka mata pengiat seni seluruh negara untuk datang ke Kuantan suatu masa dahulu kini mengalami kegusaran.
Penggiat seni tempatan amat mengharapkan pihak-pihak yang mempunyai keupayaan untuk sama-sama membantu melestarikan lagi aktiviti kesenian yang telah dimulakan oleh kumpulan itu.
Untuk makluman, Kuantan adalah antara bandar yang aktif dengan kegiatan kesenian. Hampir setiap minggu acara seperti pameran seni lukis, kelas percuma dan aktiviti seni persembahan diadakan di tengah bandar.
Semua ini dilakukan tanpa bantuan apa pun daripada pihak yang berkuasa.
Teramat malang apabila ada kumpulan manusia yang mahu menaikkan nama baik bandar Kuantan tidak dipandang oleh pihak-pihak yang mempunyai keupayaan melakukannya hanya kerana diikat dengan birokrasi yang sudah basi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai