Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Komposer irama dangdut terkenal 90-an meninggal dalam tidur

Komposer irama dangdut popular era 1990-an Ruslan Mamat meninggal dunia dalam tidur di Hospital Serdang malam tadi akibat masalah jantung

Menurut laporan Harian Metro, isteri Ruslan, Rahmah Ismail, berkata sebelum ini pencipta lagu terbabit turut mengalami masalah paru-paru berair.

"Bagaimanapun, doktor memberitahu punca kematiannya akibat masalah jantung. Suami saya memang sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Dia dimasukkan semula ke hospital pada 5 November lalu untuk rawatan. Jam 8 malam tadi, jururawat bagi dia minum susu kerana dia tak lalu makan.

"Sekitar jam 9 malam, jururawat nak bagi dia makan ubat. Apabila dikejutkan dia sudah tak beri sebarang respon," katanya yang sempat melawat kelmarin.

Menurut Rahmah, 59, jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras, Selangor sebelum Zohor tadi.

Ruslan meninggalkan isteri serta empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Komposer itu menggunakan nama anak keduanya Nabila dalam setiap karya. Allahyarham memulakan karier sebagai wartawan sebelum bergelar komposer.

Sentuhan Ruslan sering ditagih syarikat rakaman semasa era kegemilangan irama dangdut pada pertengahan 1990-an.

Antara artis yang pernah mendapaktn khidmat Ruslan adalah Amelina, Haiza, Mas Idayu, kumpulan Eva, Ifa Raziah, Ani Mayuni dan Shikin.