Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kak Nah wira yang patut didendang

ULASAN SENI | Wira yang tidak didendang, satu pernyataan yang seolah-olahnya menghalalkan tindakan kita untuk tidak mengiktiraf sumbangan mereka yang berkerja di belakang tabir.

Kita senang mengumpulkan "wira tidak didendang" itu dalam satu kumpulan sambil terus melupakan nama-nama mereka.

Mereka yang menjadi tulang belakang kepada satu pertubuhan misalnya kekal bekerja dalam apa keadaan sekalipun dan sumbangan mereka hanya dilihat sebagai kejayaan pertubuhan terbabit.

Jarang ada yang mahu berterima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus berkerja - kadangkala tanpa sebarang bayaran - bagi mejayakan sesebuah pertubuhan.

Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang (Senika) sebenarnya bertuah mempunyai seorang setiausaha yang - seperti nama jawatannya - sangat setia dalam berusaha bagi pihak persatuan tersebut.

Hasnah Yusoff yang senang dengan panggilan Kak Nah telah berpuluh tahun mengabdikan dirinya kepada Senika.

Dialah yang bertungkus-lumus menyediakan segala macam kertas kerja, minit mesyuarat dan juga mengejar dana bagi memastikan Senika - sebuah persatuan seni catan antara yang tertua di negara ini - sentiasa bergerak maju.

Kak Nah yang juga isteri kepada pelukis terkenal tanah air, Mohd Shaimy Hashim, menjadi setiausaha Senika sejak ianya mula ditubuhkan dan hanya meletak jawatan beberapa tahun lalu atas faktor kesihatan.

Sepanjang penglibatan Kak Nah, Senika menjadi sebuah persatuan yang disegani ramai. Hasil daripada kerja kerasnya dan juga beberapa orang seniman senior dalam persatuan-persatuan seni catan negara, Gabungan Persatuan Pelukis Semalaysia atau disebut sebagai Gaps berjaya ditubuhkan.

Gaps menjadi induk kepada semua persatuan seni catan negeri dan dengan tertubuhnya gabungan itu, ikatan sesama pelukis seluruh negara menjadi bertambah erat.

Kak Nah juga dilantik sebagai setiausaha Gaps sejak dari penubuhannya sehingga dua tahun lalu apabila faktor kesihatan tidak lagi mengizinkan dia untuk bergerak cergas.

Selain dari itu Kak Nah juga adalah seorang yang aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang banyak memberi tumpuan dalam membantu masyarakat.

Sumbangan Kak Nah dalam pelbagai NGO bermula sejak lama dahulu. Walaupun kini pergerakan dia agak terbatas akibat gout, diabetes dan juga darah tinggi, Kak Nah masih mengagahkan diri menyertai acara yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan yang dekat dengan hatinya.

Jika ada hero yang harus didendang oleh para seniman yang giat berpersatuan maka Kak Nah adalah wira yang perlu berdiri di hadapan tabir untuk menerima tepukan paling gemuruh.

Terima kasih Kak Nah.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.