Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Isu ABPBH: Yadim serah bantahan rasmi pada kementerian

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyerahkan surat rasmi kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia susulan gesaan terhadap penganjur bagi membatalkan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33).

Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan berkongsi perkara berkenaan melalui hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya kira-kira sejam lalu.

“Yadim menyerahkan surat rasmi kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menggesa hiburan yang tidak mematuhi syariah dapat dibatalkan terutama di saat umat Islam berdepan pandemik Covid-19,” katanya.

Serahan itu diterima oleh Pegawai Tugas Khas (Dasar) Muhammad Iqbal Mahashim mewakili Menteri Saifuddin Abdullah.

Terdahulu, portal ini melaporkan Yadim menggesa ABPBH 33 dibatalkan selepas pihaknya mendakwa menerima banyak aduan berkenaan program yang dijadual berlangsung esok itu.

Nasrudin berkata, sewajarnya umat Islam memperbanyakkan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada Allah ketika mendepani wabak Covid-19.

ABPBH 33 yang dikendalikan Berita Harian dan TV3 melalui syarikat produksi, Primeworks Studios (PWS) dijadual disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, mulai jam 9 malam esok.

Nasrudin juga berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkfili Mohamad menemui Saifuddin bagi menyatakan sikap dan pandangan Islam berhubung isu hiburan dan ABPBH 33.

Sementara itu, Zulkifli berkata, dia berkongsi beberapa buah fikiran dan pandangan berhubung penganjuran program hiburan hasil pertemuan dengan Saifuddin di KKMM hari ini.

Zulkifli yang juga bekas mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, Islam tidak menolak sebarang bentuk hiburan selagi tidak bertentangan dengan agama.

“Saya menjelaskan pendirian Islam yang tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama.

“Hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah satu bentuk pendekatan yang amat baik dalam situasi yang menekan pada masa ini,” katanya juga melalui media sosial.

Bagaimanapun, katanya, beberapa isu sensitiviti umat Islam seperti bulan Maulidur Rasul yang masih berbaki beberapa hari, perlu diberi pertimbangan sebaiknya.

“Alhamdulillah, Saifuddin memaklumkan kepada saya yang dia akan menghubungi pihak penganjur dan berusaha meneliti ruang penambahbaikan yang sesuai. Terima kasih atas keprihatinannya dalam perkara ini,” katanya.

Zulkfli berkata, dia turut mengambil maklum pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kru belakang tabir terutama yang bekerja sepenuh masa dalam industri.

Justeru menurutnya, pihaknya berbesar hati sekiranya dapat meringankan beban penggiat seni yang terjejas pendapatan.

“Jika ada apa-apa yang boleh kami - agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan - hulurkan bantuan, saya amat berbesar hati.

“Bermula Mac hingga hari ini, kami telah menyalurkan hampir RM360 juta kepada 10 kelompok sasar di seluruh Malaysia.

“Sebagai salah sebuah agensi di bawah saya, TV Alhijrah turut menyediakan pelbagai bentuk hiburan alternatif sepanjang penghujung bulan Maulidur Rasul ini,” katanya.