Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Syafie Naswip buat laporan polis lepas orang ugut nak hantar santau

Enggan terus menjadi mangsa buli siber, pelakon Syafie Naswip membuat laporan polis selepas dia menerima ugutan akan disantau pemilik akaun Instagram palsu.

Meskipun mengambil maklum akaun digunakan itu palsu, Syafie berkata dia tetap percaya akaun terbabit masih tetap dikendalikan oleh seseorang yang benar-benar wujud.

“Tujuan saya buat laporan sebagai tanda keselamatan diri dan keluarga. Kita tak tahu niat orang lain.

“Ada benda kita boleh biarkan buang sambil lalu, ada yang kita perlu ambil tindakan.

"Memang saya tahu tu akaun palsu, tapi mesti ada ‘buaya’ yang uruskan,” katanya di Instagram hari ini.

Melalui hantaran berbeza sebelum itu, Syafie atau nama penuhnya Mohd Syafie Naswip, 28, mendedahkan pemilik akaun palsu terbabit mengancam untuk menghantar santau kepadanya.

“Kau tunggul, bila-bila masa aku akan upah bomoh, aku rela habis duit untuk santau kau. Aku nak pesan, kalau cara bomoh, aku buat cara lain,” katanya.

Syafie kemudian membalas: “Motif? Hahaha kenal kau pun tidak. Makin hari manusia semakin menakutkan.”

Kata Syafie, semakin hari isu buli siber di media sosial semakin hari semakin menjadi-jadi, justeru, sesiapa yang menerima nasib sepertinya wajar membuat aduan polis.

“Kalau kita bersatu buat laporan ke atas mereka ni. Biar mereka tahu disiplin dan tatacara menggunakan media sosial dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, seorang Instafamous menggunakan akaun Instagram @tokwann_ memberitahu dia membuat laporan polis susulan akaun palsu terbabit menggunakan nama seperti akaunnya untuk membuat ugutan terhadap Syafie.

Pendedahan tu dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagramnya.

“Saya dah buat laporan polis mengenai kes tular berhubung akaun palsu. Yang buat akaun palsu tu, beringat ya, takleh nak pi (pergi) mana. Buat malu orang saja.

“Tak kisah kalau nak guna gambar saya (untuk) buat benda elok, ini buat benda jahat buat apa…” katanya.