Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Cendana perjelas 'kekeliruan' peruntukan seni dalam Belanjawan 2021

Jumlah RM15 juta untuk penggiat seni dalam Belanjawan 2021 diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafril Abdul Aziz baru-baru ini membuatkan segelintir penggiat seni kecewa.

Hal itu lebih ketara dalam kalangan penggiat seni yang masih belum jelas fungsi sebenar mahupun cara pengagihan dana dilakukan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) - Cendana sebuah unit dibawah MyCreative Ventures Sdn Bhd (syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan) dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Situasi itu sebenarnya sudah berlarutan sejak tiga tahun agensi berkenaan dilancarkan iaitu pada 6 Sept 2017.

Bagaimanapun, Cendana menjelaskan mereka sentiasa telus dengan mengumumkan nama penerima manfaat melalui laporan dimuat naik di laman sesawang mereka.

Pun begitu, mungkin tidak ramai yang benar-benar faham bagaimana ia berfungsi sepenuhnya terutama siapa yang layak menerima dana tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin, berkata matlamat agensi itu ialah memberi fokus kepada penggiat seni independan.

“Sejak 2017, fokus utama Cendana ialah dalam sektor seni visual, seni persembahan dan muzik independent di ruang berskala kecil dan sederhana (kurang dari 500 orang) dan di ruang awam.

“Bawah Pelan Penjana bagi Industri Kreatif yang diterajui MyCreative Ventures, Cendana juga menyokong sektor kraftangan Cendana, bekerjasama dan menerima kertas kerja serta permohonan geran daripada penggiat seni, pekerja budaya sama ada individu, kolektif dan organisasi seni yang berdaftar yang berkarya dan berkerja di studio, di pentas mahupun di jalanan,” katanya kepada Malaysiakini.

Tertanya-tanya siapa sasaran

Antara contoh seni persembahan ialah teater, komedi, tarian, muzikal, pengucapan puisi dan persembahan tradisi.

Contoh bidang di bawah seni visual ialah seramik, lukisan, arca, pembuatan cetakan, fotografi, seni digital atau multimedia.

Bagi bidang muzik independen ialah klasik, jazz, muzik dunia, muzik tradisional, kontemporari, alternative rock (termasuk blues, moden dan pascarock), urban (termasuk hip hop, rap dan lain-lain) serta eltronika.

Bidang kraf pula membabitkan tekstil, sulaman, manik-manik, tenunan, seramik dan tembikar, kraf etnik, seni tradisional, alat muzik dan alat peraga, pembaikan antik dan kasut buatan tangan.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan jumlah RM15 juta dana berjumlah RM15 juta ringgit disediakan buat industri seni budaya tanah air.

Peruntukan itu diberi kepada Cendana untuk melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang dikatakan bakal memanfaatkan lebih 5,000 penggiat seni dan pekerja belakang tabir.

Namun, beberapa penggiat seni meluahkan kekecewaan kerana tertanya-tanya siapakah sasaran sebenar penerima peruntukan tersebut selain menganggap jumlah terlalu kecil untuk meliputi keseluruan sektor industri.

Selain itu, media juga melaporkan, beberapa penggiat seni seperti penganjur konsert turut menaruh harapan untuk menjadi penerima manfaat Cendana.

Menjelaskan perkara tersebut, Izan berkata, fungsi produk dan perkhidmatan Cendana penting untuk membantu sektor memahami ekosistem yang tersedia ada selain memberi kerjasama dan bantuan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) sebelum ini, katanya, RM300 juta diperuntukkan secara menyeluruh untuk memberi manfaat kepada penggiat industri sektor perfileman, kandungan kreatif dan muzik.

Bantu promosi, buat bengkel

“Untuk syarikat produksi filem boleh memohon dana sama ada pinjaman atau geran melalui KKMM, MyCreative Ventures atau Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia manakala penganjur konsert berskala besar biasanya melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Pelan Penjana untuk industri kreatif pula diperuntukkan jumlah RM225 juta bawah MyCreative Ventures dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Harap semua bersabar agar sesi parlimen habis dan perincian belanjawan untuk semua dapat diberikan.

"Semestinya Rancangan Malaysia ke-12 yang akan diumumkan pada awal 2021 juga akan meliputi sektor seni budaya dan industri kreatif.

“Kami akan perjelaskan lebih lanjut dalam beberapa minggu akan datang untuk membantu sektor ini agar tidak timbul kekeliruan lagi selepas ni,” katanya.

Difahamkan, sejak belanjawan 2017 hingga 2020, sebanyak RM45 juta disediakan untuk Cendana. Bagaimanapun, lebih 50 peratus jumlah tersebut sebenarnya tidak diterima.

Kata Izan buat masa ini, antara input yang diberikan ialah untuk Cendana meneruskan geran sedia ada, membantu promosi, mengadakan bengkel peningkatan kemahiran pekerjaan melalui platform Cendana, menyokong pembabitan pihak korporat dalam sektor seni budaya, kelonggaran cukai hiburan kepada sektor ini, program persembahan penghibur jalanan (buskers) secara maya dan lain-lain lagi.

Sekiranya input yang diberikan mungkin bukan berada dalam fungsi Cendana, katanya, ia akan ditampilkan kepada agensi agensi kerajaan yang berkaitan agar sektor itu dapat diusahakan secara bersama.

Mengulas dakwaan Cendana bersikap pilih kasih apabila hanya meluluskan permohonan yang kebanyakannya berasal dari kawasan non urban selain fasih berbahasa Inggeris saja, Izan berkata pada umumnya pemohon boleh memohon dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Ada video cara isi borang

Namun katanya ia mesti memenuhi kriteria yang tertakluk di dalam terma rujukan setiap program dan melepasi penilaian panel penasihat industri dan panel penilaian Cendana.

Katanya kebanyakan penerima dana adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Johor, Kedah dan Kelantan.

"Sekiranya terdapat kekeliruan atau pemohon perlukan penjelasan, pegawai-pegawai kami sentiasa bersedia untuk membantu," katanya.

Selain itu kata Izan dana juga tersedia melalui MyCreative Ventures, Finas, MDEC dan merangkumi usaha dalam sektor lain seperti filem, animasi, fesyen, seni masakan, sastera dan lain-lain.

Menurutnya Cendana turut mendengar keluh-kesah artis yang perlu melalui proses tertentu untuk menerima pembiayaan terutamanya mengisi borang permohonan.

“Kami menerima baik pandangan dan keluhan ni dan sentiasa memperbaiki proses tersebut bagi memudahkan mereka memohon.

"Setiap borang permohonan melalui proses saringan dan penambahbaikan sebelum dimuat naik.

“Selain itu, kami juga menyediakan video tutorial cara mengisi borang permohonan bagi membantu pemohon.

"Sekiranya pemohon masih menghadapi kesukaran, pegawai kami sentiasa bersedia untuk membantu pemohon.

"Demi pembangunan dan kesejahteraan sektor seni budaya, kerjasama semua pihak, termasuklah pihak korporat, agensi-agensi kerajaan dan komuniti seni budaya adalah penting.

"Kami yakin dengan hubungan erat ini dan berharap segala usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.