Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jangan cetus panik, kata Finas

BELANJAWAN 2021 | Penggiat industri diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi atau sengaja mencetuskan panik berhubung peruntukan Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, sekiranya penggiat industri mempunyai sebarang kemusykilan mereka harus datang mendapatkan penjelasan daripada agensi berkenaan.

"Selama ni paksi industri kreatif adalah Finas, justeru jika timbul ragu-ragu mereka yang mempunyai sebarang persoalan wajar merujuk badan ni terlebih dulu.

"Mereka ada Finas, jika susah, Finaslah yang selama ni banyak membantu, jika tak dibenarkan jalankan penggambaran Finas usahakan sampai boleh.

"Justeru, saya mohon mereka yang ada agenda politik dan berkepentingan peribadi untuk mohon berhenti memanipulasi. Mereka ni berbahaya, bukannya nak bantu industri," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan jumlah RM15 juta disediakan untuk Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).

Peruntukan itu diberi kepada Cendana untuk melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang dikatakan bakal memanfaatkan lebih 5,000 penggiat seni dan pekerja belakang tabir.

Bagaimanapun, terdapat penggiat industri yang mengaku masih samar-samar mengenai sasaran sebenar belanjawan tersebut.

Ahmad Idham berkata, Finas sudah diberi peruntukan untuk menggerakkan program di bawah agensi itu.

"Bawah Finas kita sudah bergerak awal untuk Program Pelaksana Dana Kandungan Digital kepada pembikin filem dengan bajet RM40 juta.

"Tak bermakna hanya berdasarkan bajet saja baru boleh gerak.

"Kita boleh bergerak daripada peruntukan sedia ada dan berlanjutan ke tahun depan.

"Secara keseluruhan di bawah program lain pula sudah hampir RM60 juta diturunkan dan ia akan menjangkau proses pembayaran untuk tahun depan," katanya.