Johnny Depp kalah saman
Bintang Hollwood Johnny Depp kalah dalam kes saman fitnah terhadap tabloid Britain semalam.
Saman itu difailkan selepas tabloid berkenaan menggelar Depp sebagai “pemukul isteri” dalam sebuah artikel mengenai hubungannya dengan bekas isteri, Amber Heard.
Depp, menyaman News Group Newspapers, penerbit The Sun, dan pengarang eksekutif Dan Wootton, berhubung sebuah artikel yang diterbitkan April 2018.
Artikel itu pada awalnya menggunakan tajuk “Gone Potty: Bagaimana JK Rowling boleh gembira kerana memberi tawaran lakonan kepada pemukul isteri, Johnny Depp dalam filem Fantastic Beast yang baru?”
Depp, 57, yang antara lain terkenal dengan lakonan Jack Sparrow dalam filem francais Pirates of the Caribbean sebelum ini mengaku dalam perbicaraan bahawa dia dan Amber pada malam kejadian mabuk dan bertengkar namun menafikan memukul aktres terbabit.
The Washington Post melaporkan, hakim Andrew Nicol yang mengendalikan perbicaraan 16 hari di Royal Courts itu kemudian memutuskan bahawa The Sun membuktikan artikel mereka “sahih.”
Kekalahan dalam kes saman fitnah itu merupakan satu tamparan serius kepada Depp dan boleh membuatkan dia kehilangan pendapatannya yang lumayan melalui lakonan. Pelakon itu juga terpaksa membayar kos perundangan di London yang berkemungkinan bernilai jutaan dollar.
Keputusan itu pula satu kemenangan buat Amber yang berkempen menentang penderaan domestik atau rumah tangga sekali gus membantunya menaikkan semula reputasinya.
Sewaktu perbicaraan, Depp dan saksi- saksi menggambarkan Amber sebagai seorang pembohong yang manipulatif serta 'pisau cukur' yang cuba menganiayanya.
Heard, 34, yang memberi keterangan untuk membela diri, menuduh Depp menyerangnya sebanyak 14 kali sewaktu mereka masih berkahwin. Hakim mendapati terdapat bukti mencukupi untuk menyokong 12 insiden didakwa Amber.
Depp dan Amber bertemu kira-kira sedekad sewaktu menjalani penggambaran The Rum Diary, sebuah adaptasi novel Hunter S Thompson. Mereka berkahwin pada 2015, tidak tinggal sebumbung pada 2016 dan bercerai setahun kemudian.
Amber menuduh bekas suaminya melakukan penderaan fizikal dan verbal. Dia turut menuduh Depp menampar, menendang, memukul kepala dan mencekiknya.
Dalam satu insiden, Amber mendakwa Depp membaling wine dan botol arak ke arahnya seperti membaling bom. Dia juga mendakwa Depp sering khayal dadah ketika mereka tinggal bersama di Australia, Los Angeles dan London.
Depp mengaku meminum minuman keras dan mengambil dadah, tetapi dia dengan tegas menolak tuduhan melakukan keganasan terhadap Heard.
Sebaliknya, Depp mendakwa dia sebenarnya yang menjadi mangsa penderaan fizikal kerana Amber berulang kali memukulnya di muka selain mengakibatkan hujung jarinya cedera selepas melemparkan botol.
Dalam keputusan setebal 128 muka surat, Nicol berkata, dia mempercayai Amber dan berkata, majoriti dakwaan serangan dilakukan Depp dibuktikan sesuai dengan standard sivil.
Salah seorang peguam Depp, Jenny Afia berkata, keputusan itu “tidak masuk akal kerana membingungkan” serta menyatakan mustahil sekiranya mereka tidak mengemukakan rayuan.
Namun, tidak jelas sama ada keputusan itu akan mempengaruhi keputusan Depp untuk menuntut Heard dengan bayaran AS$50 juta (RM207,925,000) dalam kes fitnah berasingan di AS.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai